Ramai Majikan Gagal Patuhi Perubahan Akta Pekerja – MTUC
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Januari 2022 – Ramai majikan dilaporkan gagal mematuhi pindaan Akta Pekerjaan sejak dilaksanakan seminggu lalu, dedah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pekerja dan kesatuan sekerja, dan antara isu yang mereka bangkitkan ialah kegagalan untuk melaksanakan minggu bekerja 45 jam.
BACA JUGA: FELDA Agih RM9.7 Juta Bantuan Musim Tengkujuh
BACA JUGA: ‘Standard’ Soalan BM SK Tidak Sesuai Untuk SJK – Jiao Zong
“Majikan tidak membuat persediaan yang sewajarnya kerana berharap Kerajaan menangguhkan pelaksanaan pindaan itu semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwanya juga, terdapat beberapa majikan meminda syarat perkhidmatan pekerja mereka tanpa persetujuan mereka, termasuk tidak membayar mereka semasa rehat.
“Majikan menukar syarat perkhidmatan supaya pekerja akan bekerja selama 45 jam. Ini telah menimbulkan kemarahan pekerja kerana jumlah masa yang mereka habiskan di tempat kerja tidak berubah.”
“Tujuan minggu bekerja 45 jam (berbanding minggu bekerja 48 jam sebelum ini) adalah untuk mewujudkan keseimbangan kehidupan kerja untuk pekerja. Pekerja sepatutnya dapat bersama keluarga mereka dengan masa yang dikurangkan.”
“Malangnya, majikan menggunakan cara lain untuk memaksa pekerja tinggal di syarikat selama 48 jam sepanjang minggu,” katanya.
Justeru itu, MTUC menggesa Kementerian Sumber Manusia menjalankan pemeriksaan ke atas semua syarikat bagi memastikan mereka mematuhi pindaan akta tersebut, demi kebajikan pekerja.
Bagi majikan yang gagal melaksanakan pindaan itu haruslah dikenakan tindakan tegas, malah pertuduhan mahkamah.
Pindaan kepada akta itu bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja dan memastikan peraturan tempatan selaras dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Ia sepatutnya dilaksanakan pada 1 September lalu tetapi kemudiannya ditangguhkan kepada 1 Januari ini.
Akta yang dipinda itu memperuntukkan cuti bersalin 98 hari, mengurangkan waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, dan lanjutan kelayakan bayaran lebih masa kepada mereka yang berpendapatan sehingga RM4,000 sebulan.