Ramadan: Semua Kena Beringat COVID-19 Masih Ada – KP Kesihatan
KUALA LUMPUR, 22 Mac 2023 – Dalam melakukan aktiviti di bulan Ramadan, orang ramai dinasihatkan supaya terus beringat bahawa virus COVID-19 serta virus lain seperti Influenza masih ada.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media berkata, langkah-langkah kesihatan awam perlulah diamalkan bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.
BACA JUGA: Hannah Yeoh Patut Disiasat, PM Patut Tukar – Ketua Penerangan PERKASA
BACA JUGA: Syed Saddiq Jangan Tunjuk Liberal Sangat – Ketua Penerangan PERKASA
BACA JUGA: CelcomDigi Gabung, Milik Khazanah, Tapi Peranan Melayu Dikecilkan – Presiden PERKASA
Jelasnya, antara langkah-langkah kesihatan awam yang boleh diambil termasuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala terutama di kawasan ramai orang dan sesak, kerap mencuci tangan terutama selepas bersalaman atau membawa sanitasi tangan serta mengamalkan etika batuk dan bersin dengan betul.
Selain itu, jemaah juga digalakkan membawa sejadah sendiri dan pakaian solat bagi jemaah wanita untuk ke masjid.
Dr Noor Hisham juga menggalakkan individu bergejala mengamalkan penilaian risiko kendiri (TRIIS) dan mengelakkan diri berada di kawasan awam seperti bazar Ramadan.
Individu positif COVID-19 pula dilarang menghadiri aktiviti sosial dan segera dapatkan rawatan jika gejala bertambah teruk.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kes baharu bagi tempoh 12 hingga 18 Mac lepas meningkat 18 peratus iaitu 1,848 berbanding 1,566 pada minggu sebelumnya sekali gus menjadikan kumulatif kes baharu sejak 25 Jan 2020 berjumlah 5,047,040.
Manakala, bilangan kes sembuh pula menurun 13.7 peratus iaitu daripada 1,423 kes kepada 1,228 kes manakala bilangan kes kematian meningkat 150 peratus iaitu daripada dua kes kepada lima kes.
Justeru, ia menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 5,000,457 manakala kes kematian kini 36,972.