Ramadan: Harga Barang Naik Mendadak, Peniaga & Pengguna Mahu Kerajaan Bertindak
KUALA LUMPUR, 24 Mac 2023 – Peniaga barangan basah tersepit dengan trend kenaikan harga barang yang dijangka terus meningkat sehingga musim perayaan.
Menurut peniaga-peniaga di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, kenaikan harga bahan mentah makanan secara mendadak dari pembekal seringkali terjadi apabila tiba bulan Ramadan sehingga Aidilfitri.
BACA JUGA: Antunan Seksual Kanak-Kanak Antara Penyebab Jangkitan HIV – Timbalan Menteri
BACA JUGA: Kantin Sekolah: Dari Kecil Ajar Bukan Islam Tidak Hormat Umat Islam
BACA JUGA: Penyelewengan Barang Subsidi: KPDN Berjaya Rampas 5,000 Liter Minyak Diesel
“Dari dulu lagi bila masuk bulan puasa memang pembekal naik harga, jadi kami pun terpaksa jual mahal dan untung pun sedikit bila pembeli berkurangan,” luah peniaga ikan, Muhammad Zarijan Yusuf, 43.
Zarijan mengakui hasil jualan bahan mentah itu tidak menguntungkan dan hanya sekadar cukup makan kerana pembekal pasti akan menaikkan harga menjelang Ramadan.
Katanya, pembekal bersikap pilih bulu apabila menawarkan harga lebih murah kepada penjual lain yang boleh dianggap sebagai ‘kroni’ mereka.
“Harap Kerajaan turun pantau dan bantu kami,” rayunya.
Selain itu, seorang peniaga daging lembu segar juga mengalami masalah yang sama, namun tidak mengendahkan permainan licik pembekal dan mengekalkan prinsipnya berniaga sambil bersedekah.
“Prinsip saya adalah berniaga sambil bersedekah. Memang itulah kelazimannya setiap tahun, datang Ramadan semua bahan mentah naik termasuk daging, nanti menuju Aidilfitri biasanya naik lagi tapi saya tetap jual harga biasa, saya anggap halal sajalah janji customer happy,” kata Suhaimi Yahya, 60, yang sudah berniaga selama empat dekad di pasar itu.
Jelasnya, sebelum ini harga yang diterima daripada pembekal adalah RM33 sekilogram namun ia bertambah RM2 menjelang Ramadan
Sementara itu, seorang pelanggan, Yuhana Salleh, 40, turut mengakui ada kenaikan harga setiap kali di bulan Ramadan, sekurang-kurangnya RM2 bagi setiap kilogram untuk setiap bahan mentah.
“Harga itu juga sama seperti Ramadan tahun lepas, saya harap Kerajaan boleh buat sesuatu sebab bukan semua berkemampuan dan biarlah semua orang dapat merasai sumber makanan ini,” luahnya.