Tempatan

Ramadan 1442H: YDPA & Raja Permaisuri Agong Zahir Ucapan Kepada Rakyat Dan Nasihat Kepada Ahli Politik Negara

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 12 April 2021 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Bersempena ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengambil kesempatan ini menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan amalan soleh,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Ujarnya lagi, di kesempatan ini, Seri Paduka Baginda juga menasihati ahli-ahli politik negara bahawa mereka perlu menjadi model ikutan (role model) kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik.

“Syiar bulan Ramadan sesungguhnya bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah)”.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti.”

Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

“Pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara.”

Tambah Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda turut berpandangan bahawa keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak COVID-19 dan tindakan-tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara menerusi inisiatif-inisiatif kerajaan, termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Akhirnya, Seri Paduka Baginda berdua turut menyeru seluruh umat Islam untuk mengambil keberkatan Ramadan bagi bersama Baginda berdua mendoakan semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta wabak COVID-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera.

“Umat Islam diseru mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan. Semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” akhiri Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button