Rakyat Rayu Kerajaan Bantu Bina Jalan Dan Kemudahan Asas
HULU SELANGOR, 08 Ogos 2023 – Bantuan kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya di Kampung Melayu Bukit Tarek dari pihak Kerajaan seakan-akan menanti kucing bertanduk.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Melayu Bukit Tarik, Mamat Deraman berkata, sehingga kini perkampungan itu tiada infrastruktur asas walaupun terletak kurang 60 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur.
BACA JUGA: Kes Nik Elin: JHEAIK Diarah Jadi Pencelah
BACA JUGA: Pemancing Temukan Barang Kemas Lama Era Ratu Victoria Di Lipis
BACA JUGA: Si Hulk Cari Suaka Di New Zealand, Cuba Kuasai Sebuah Masjid
Mereka masih terpaksa melalui jalan tanah sejauh kira-kira empat kilometer untuk menghubungkan dengan jalan utama, menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk memperoleh bekalan elektrik serta menadah hujan bagi mendapatkan air bersih.
Menurutnya, jawatankuasa penduduk pernah mengusahakan penilaian pembinaan infrastruktur dalam kawasan kampung bernilai keseluruhan hampir RM30 juta dan dicadangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021.
“Antara yang dicadangkan dalam perancangan tersebut adalah pembinaan jalan sepanjang kira-kira tujuh kilometer dengan kos kira-kira RM500,000 dan sebuah jambatan merentasi Sungai Selangor dianggarkan menelan belanja sekitar RM7 juta.”
“Jalan berkenaan dicadangkan dibina dengan menghubungkan kawasan kampung dengan jalan raya berhampiran persimpangan Plaza Tol Bukit Tagar, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Itu yang sudah dikemukakan, namun kami masih menunggu,” katanya.
Malah katanya, hampir dua tahun lepas terdapat beberapa siri pertemuan antara mereka dengan Kerajaan Persekutuan.
Malah, mereka juga menerima kunjungan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bagi menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih di sana.
Namun, kunjungan itu tidak membuahkan hasil bahkan hanya menambah harapan buat penduduk.
“Yang paling asas kami minta adalah kemudahan jalan kalau tak dapat jenis jalan bertar, dapat jalan ladang pun jadilah dengan harapan memudahkan kemasukan bekalan elektrik selepas itu, tetapi sampai sekarang kami masih menunggu.”
“Bagi bekalan air pula, kami minta buatkan perigi di lima tempat sebab kos pasang paip untuk ambil air bersih dari luar pun mahal, pun belum ada lagi.”
“Kami penduduk merayu kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri, bantulah. Kebanyakan kami adalah warga emas, pesara kerajaan tidak mampu untuk melakukan lebih daripada itu. Malah ada antara kami rumahnya sudah ‘menyembah bumi’ selepas pemiliknya meninggal dunia, kerana pewarisnya enggan tinggal di sini,” rayunya.