Antarabangsa

Rakyat Qatar Boleh Sewakan Rumah, Bilik Kepada Penonton FIFA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LUSAIL, 11 September 2022 – Penduduk Qatar diberi kebenaran menyewa rumah dan bilik mereka kepada peminat dan penonton kejohanan Piala Dunia FIFA yang bakal bermula pada 20 November ini.

Sebelum ini, pemegang tiket Piala Dunia hanya boleh menempah penginapan melalui Agensi Penginapan Qatar (QAA) rasmi dengan beberapa pilihan penginapan termasuk hotel, kampung peminat, vila dan juga pangsapuri.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Jawatankuasa Khas Piala Dunia, Yasir Al Jamal berkata, pemegang tiket boleh menggunakan ID peminat atau kad Hayya untuk menempah penginapan dari sumber ketiga dan tidak semestinya menerusi tempahan daripada QAA.

“Kami bertindak sebegini untuk membolehkan lebih ramai orang memohon kad Hayya. Selain itu, kami komited untuk memastikan harga yang sesuai dan berpatutan untuk peminat bermula pada USD 80 dan boleh berubah bergantung pada permintaan peminat,” ujar Yasir.

Qatar mensasarkan seramai satu juta pelawat hadir semasa berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2022 namun mereka bimbang sekiranya tidak dapat menyediakan penginapan yang mencukupi kepada pengunjung, terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai tiket dan hanya ingin merasai suasana dan budaya negara itu.

Pihak penganjur telah menempah sebanyak 80 peratus daripada hotel dan pilihan penginapan lain yang ada di negara itu untuk para pemegang tiket, ujar seorang pegawai Jawatankuasa Tertinggi (SC).

Pengarah Eksekutif Penginapan di SC pula menjelaskan, “Dua kapal persiaran mempunyai lebih daripada 4,000 bilik dan terdapat empat lokasi berbeza untuk kampung peminat. Pilihan penginapan juga akan disediakan melalui rumah percutian selain pilihan untuk tinggal bersama rakan atau keluarga.”

Pihak penganjur turut mengatakan bahawa negara itu menyediakan hampir 130,000 bilik untuk lebih sejuta peminat dan pengunjung tidak perlu bimbang mengenai kekurangan penginapan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: