Tempatan

Rakyat Pahang Panik Beli Paracetamol Kerana Dos Penggalak

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 27 Februari 2022 – “Bekalan ubat Paracetamol jenama terkemuka paling terjejas bermula bulan ini. Kami langsung tiada bekalan sedangkan pengguna mahu menggunakan ubatan jenama itu,” ujar pemilik Farmasi Sekilau, Zuraida Abdul Kadir.

Pembelian panik tersebut ujarnya dianggap sebagai persediaan untuk mengurangkan kesan sampingan selepas menerima suntikan dos penggalak seperti demam, sakit sendi dan sakit kepala.

“Kami juga tidak dibenarkan membuat tempahan barangan (ubatan) sendiri sebaliknya perlu mendapatkan bekalan daripada pembekal.”

“Malah agihan ubat itu turut dihadkan kepada jumlah tertentu kepada setiap farmasi-farmasi dan kedai serbaneka,” katanya.

Tambahnya lagi, situasi yang sama berlaku pada Jun dan Julai tahun lalu yang melibatkan jenama keluaran GlaxoSmithKline (GSK).

Menurut tinjauan Sinar Harian, rak yang mempamerkan bekalan Paracetamol didapati kosong di beberapa farmasi komuniti, kedai runcit dan kedai serbaneka.

“Saya telah membuat tempahan daripada pembekal sejak Disember lalu, tetapi bekalan diperoleh dalam jumlah yang terhad dan seolah-olah bekalan itu dicatu,” ulasnya.

Tambah Zuraida, punca kekurangan ubat yang melibatkan jenama tersebut adalah berpunca daripada bahan mentah untuk menghasilkan ubat-ubatan itu.

Malahan, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi berlaku di seluruh dunia dan berharap agar pengguna perlu memilih ubat-ubatan jenama lain yang ada di pasaran.

Pegawai Farmasi di Jalan Wong Ah Jang, Michelle Ong, 43, turut menyuarakan keresahan yang sama di mana susulan pengambilan dos penggalak, pembelian Paracetamol kian meningkat.

“Jenama lain ada yang terjejas, tetapi kekurangan ubatan dari jenama terkemuka itu antara yang paling kritikal. Kebanyakan pengguna mahukan ubatan jenama itu sahaja,” ujarnya.

Pekerja kedai serbaneka, Roslan Abd Rahim, 33, berkata bekalan ubat jenama terkemuka itu habis kebelakangan ini berikutan permintaan luar biasa daripada pengguna.

Menurut pandangan seorang pengguna, Mutalib Hamid, 41, penggunaan Paracetamol penting dan setiap rumah perlu menyimpannya sebagai persediaan.

“Sekiranya demam atau kurang sihat, boleh mengambil ubatan dari jenama terkemuka itu sebagai rawatan awal,” katanya.

Zuraida berharap agar pengguna membuat persediaan menghadapi kenaikan harga ubat di farmasi di mana menurut beliau ada kemungkinan berlakunya kenaikan harga Paracetamol sehingga 10 peratus berbanding harga sedia ada.

Leave a Reply

Back to top button