Rakyat Marah Status Vaksinasi Lesap Di MySejahtera
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2022 – Pengguna aplikasi MySejahtera di kalangan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati apabila status suntikan vaksinasi COVID-19 mereka lesap dari aplikasi tersebut.
“Aplikasi tidak berfungsi dengan baik sejak sekian lama. Butiran vaksinasi, dos penggalak dan tanggungan saya serta butiran vaksinasi mereka semuanya hilang. Saya tak dapat kemas kini status. Tekan ‘submit’ tapi tiada apa terjadi. Saya tak boleh memuat semula maklumat kerana ‘hang’. Saya cuba telefon talian bantuan tapi tiada yang jawab dan tidak dimaklumkan berapa ramai yang menunggu sebelum saya. Saya sudah menghantar e-mel dan dibalas dengan soalan lazim yang umum seperti di MySejahtera. Tolong baiki masalah-masalah ini secepat mungkin!” tegas seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna turut menyatakan kelemahan aplikasi ini apabila tidak dibenarkan masuk ke hospital kerana status profilnya yang tidak dikemaskini.
“Aplikasi paling teruk sekali. Sudah bertukar ke telefon baru dengan Android 12. 1) Saya tak boleh kemas kini status terutamanya apabila ingin ke hospital. Kadangkala pengawal keselamatan tidak membenarkan saya masuk kerana status yang tidak dikemaskini. 2) Butiran dalam profil saya sudah hilang. Status saya. Sijil vaksinansi termasuk dos penggalak. 3) Tidak boleh log keluar langsung. 4) MySejahtera Trace tak dapat digunakan. Saya tidak boleh hidupkan Bluetooth pun dari aplikasi tersebut. 5) Sudah nyatakan isu itu pada HELPDESK NAMUN TIADA BALAS.”
Tambahan pula, seorang pengguna MySejahtera yang positif COVID-19 juga tertanya-tanya mengenai tempoh masa dia perlu menjalankan kuarantin dan status profilnya yang tidak berubah setelah mengemas kini walaupun telah disahkan positif.
“Aplikasi ini tidak elok dan tidak berguna. Saya disahkan positif pada 2/3/2022 melalui ujian PCR dan sudah laporkan status saya di MySejahtera. Tapi sampai sekarang, tiada sebarang kemas kini tentang status saya dalam MySejahtera dan masih menunjukkan warna biru. Sampai ke hari ini saya masih tidak tahu sampai bila saya perlu kuarantin dan macam mana saya perlu lapor status saya setiap hari. Saya sudah cuba hubungi talian hotline beberapa kali sejak pagi tadi, tapi tiada yang mengangkat. Sangat kecewa dengan aplikasi ini dan servisnya!!”
Dalam ruang maklum balas aplikasi tersebut juga, terdapat pengguna yang mendakwa bahawa aplikasi berjuta-juta ringgit itu tidak berguna, di samping ada yang mengatakan aplikasi kerajaan tidak sepatutnya mengalami masalah-masalah sebegini.
“Semua rekod vaksinasi dan sijil digital saya hilang. Install semula tapi tetap tak selesaikan apa-apa. Hantar e-mel pada helpdesk hanya untuk dapat balasan automatik yang tak berguna. APLIKASI BERJUTA-JUTA RINGGIT TIDAK BERGUNA!”
“Aplikasi teruk, saya cuba kemas kini status vaksinasi saya tapi tidak berubah. Saya juga melaporkan dan menghantar e-mel mengenai masalah tersebut namun responnya tidak membantu langsung. Dan sekarang saya positif COVID dan perkara yang sama terjadi lagi. Saya sudah kemas kini keputusan ujian saya tapi masih menunjukkan ‘risiko rendah’ pada profil saya.. biar betul? APLIKASI KERAJAAN TAK SEPATUTNYA MACAM INI,” luah seorang lagi pengguna MySejahtera.