Rakyat Malaysia Rayu RapidKL Singkatkan Waktu Kekerapan Tren
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 04 Julai 2022 – “@MyRapidKL, 5 minit antara tren terlalu lama. Bercakap tentang pengangkutan, terutamanya pada waktu puncak, setiap minit adalah penting! Mengapa tren tidak boleh datang setiap 2 minit?” persoal seorang pengguna RapidKL dalam laman Twitternya.
Meluahkan kekesalannya, ciapan AiraNurAriana itu mendapat respons dari pengguna media sosial lain.
“Lepas tu dah tunggu 5 minit dapat 2 koc tren,” kata @blacktrixx dalam komennya.
Perkara yang sama juga diakui oleh @nabila_azm1.
“Wehhh setuju. Semalam I terlepas 2 tren sebab yang datang 2 koc. Ni dekat Masjid Jamek dah la bawah tanah. Memang sesak habis.”
@rebeldravidian juga menceritakan pengalamannya yang terpaksa berhimpit seperti ikan sardin dalam tren yang sesak disebabkan kekerapan antara tren bertukar menjadi 5 minit tetap.
“5 minit di Stesen MRT Kajang, stesen pertama. Seluruh ruang tempat duduk dalam MRT penuh. Bayangkan sepanjang perjalanan di mana orang ramai hanya mula turun di Maluri. Berapa lama kita perlu bersesak seperti ikan sardin.”
Ciapan AiraNurAriana ini turut mendapat perhatian dari admin RapidKL. Dalam balasannya, admin pengangkutan awam itu berkata,
“Terima kasih atas maklum balas anda. Kami akan sentiasa memantau keadaan dan sekiranya diperlukan, tren tambahan akan ditambah untuk mengurangkan kesesakan di kawasan sibuk. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.”
Namun jawapan balas RapidKL ini mendapat sindiran dari netizen.
“Pantau dan tak buat apa-apa sampai kiamatlah tren setiap 5 minit lebih,” kata @Michellelanious
“Perkara ini dah terlalu lama berlaku sepanjang ingatan saya terutamanya sejak orang ramai mula pergi balik ke pejabat. Jadi saya tak rasa kita perlu memantau apa-apa lagi. Ambil tindakan sahajalah,” tegas @minyoonglesAD pula.