Rakyat Malaysia Diseru Sertai Himpunan Solidariti Palestin Ahad Ini
PUTRAJAYA, 02 Ogos 2024 – Seluruh rakyat Malaysia diajak menyertai himpunan solidariti bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad, 04 Ogos ini bermula jam 8 malam.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam sebagai tanda untuk semua pihak menyatakan kebersamaan rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, penganjuran himpunan itu turut berkait dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran baru-baru ini.
“Kita harap ini akan menjadi satu signal yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat Malaysia dalam isu Palestin tidak berubah dan kita akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan mengenai kehadiran Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara dalam himpunan itu, termasuk menjemput Senator dan Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, “Jemaah Menteri tidak dapat menghantar wakil ke pengebumian Ismail kerana ia diadakan hari ini, tak sempat.”
Namun, “Difahamkan pengebumian akan dilakukan di Qatar dan Malawakil akan hadir mewakili pihak kerajaan,” ujarnya.