Tempatan

Lebih 31 Ribu Belia Diisytihar Bankrap – Menteri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Julai 2023 – Seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Justeru itu, Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan angka yang membimbangkan itu.

BACA JUGA: AWAS! Tanah Runtuh Di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

BACA JUGA: Logo Halal Palsu, KPDN Serbu Kilang Susu Kacang Soya Teluk Intan

BACA JUGA: Malaysia Menang Lagi Kes Tuntutan Sulu

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, antara inisiatif yang diambil adalah memberi pelepasan kebankrapan kepada mereka yang diisytiharkan muflis dengan jumlah hutang berskala kecil di bawah RM50,000 yang memenuhi syarat bermula 1 Mac tahun ini.

“MDI juga telah meminda Seksyen 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuat kuasa sejak 1 September 2021.”

Jelasnya, pindaan itu bertujuan menetapkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000 yang secara tidak langsung membantu menurunkan peratusan bankrap didaftarkan dengan MDI termasuklah golongan belia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu jumlah belia yang muflis serta usaha Kerajaan bagi membendung isu tersebut pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Tambahnya lagi, Kerajaan turut memperkenalkan peruntukan berkenaan pelepasan automatik pada tahun 2017 di bawah Akta 360.

“Ia bagi membolehkan golongan bankrap dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat iaitu tiga tahun daripada tarikh pemfailan Penyataan Hal Ehwal (PHE) dengan MDI.”

Ujarnya, Kerajaan juga telah melakukan penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik melalui Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei 2023 dan Dewan Negara pada 19 Jun 2023.

Selain itu, Kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama 35 institusi pengajian awam dan swasta telah memperkenalkan modul pendidikan kewangan sebagai subjek elektif bagi mendidik pelajar tentang kepentingan menguruskan kewangan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: