Rakyat Gaza Berdepan Kebuluran, Terpaksa Makan Makanan Haiwan
KUALA LUMPUR, 25 Disember 2023 – Lebih 500,000 rakyat di utara Gaza berdepan masalah kebuluran sehingga terpaksa memakan makanan haiwan untuk meneruskan hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, mereka di utara Gaza hanya sempat mendapat bekalan makanan pada dua minggu pertama peperangan meletus.
Ujar beliau, “Pada mulanya mereka terpaksa memakan rumput kering yang diberikan kepada lembu namun apabila bahan tersebut sudah kehabisan mereka mula mengisar jagung kuning yang menjadi makanan burung dan keldai untuk dimakan.”
Dr. Sharif juga memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan yang masuk melalui pintu Rafah sangat terhad dan hanya untuk kawasan di selatan Gaza.
“Ia tidak sampai ke utara kerana laluannya dihancurkan oleh rejim Zionis sejak peperangan bermula.”
Jelasnya lagi, rakyat di utara Gaza tidak dapat berpindah ke selatan disebabkan ancaman Zionis Israel yang bukan sahaja menyasarkan rakyat Palestin malah ambulans yang membawa pesakit.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza melaporkan, setakat Jumaat lalu, lebih 20,000 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel di mana dua pertiga daripada angka kematian adalah wanita dan kanak-kanak.