Tempatan

Rakyat Bebas Nyatakan Pendapat, Kritikan Selagi Tidak Langgar Undang-Undang Sedia Ada

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2024 – “Demi mendukung prinsip demokrasi, setiap rakyat bebas untuk menyatakan pendapat dan kritikan, namun ia mempunyai had tertentu selagi mana tidak melanggar undang-undang sedia ada,” menurut Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil seperti yang dinyatakan dalam penyata rasmi bagi Sidang Dewan Rakyat, kelmarin.

Kenyataan beliau itu adalah bagi menjawab kepada Ganabatirau A/L Veraman (Klang) yang meminta diberikan garis masa  penyelesaian semakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan skop dan penggunaannya melindungi kebebasan bersuara dan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Menurut Fahmi, pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat kelulusan Kabinet dan Jabatan Peguam Negara dengan sewajarnya cadangan pindaan kepada Akta 588 telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak melalui sesi libat urus yang telah diadakan.

“Sesi libat urus yang terkini berhubung cadangan pindaan kepada Akta 588 telah diadakan pada 30 Oktober 2023, 1 dan 3 November 2023 yang melibatkan pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam kalangan pemain industri, kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, badan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat madani.

“Maklum balas dan cadangan yang diterima hasil daripada sesi libat urus yang diadakan tersebut telah dipertimbangkan dengan sewajarnya dalam memuktamadkan cadangan pindaan Akta 588. Cadangan pindaan ke atas Akta 588 secara umumnya diterima baik oleh pihak berkepentingan dan pemegang taruh.

“Berhubung hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Artikel 10(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen, melalui undang-undang, mengenakan apa-apa sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat, antara lain, demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Demi mendukung prinsip demokrasi, setiap rakyat bebas untuk menyatakan pendapat dan kritikan, namun ia mempunyai had tertentu selagi mana tidak melanggar undang-undang sedia ada. Dalam hal ini Akta 588 tidak pernah menghadkan seperti yang telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan selagi mana penggunaan media elektronik tersebut tidak melanggar peruntukan perundangan, khususnya di bawah peruntukan seksyen 211 dan seksyen 233 Akta 588,” jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: