Rakyat Amerika Percaya Demokrasi Bakal Hancur
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 04 September 2022 – Dilaporkan lebih daripada dua per tiga daripada warga Amerika Syarikat (AS) percaya bahawa sistem demokrasi yang sedang diamalkan di negara mereka sedang berada di ambang kehancuran.
Menurut undian yang dibuat oleh Universiti Quinnipiac, jumlah rakyat yang percaya bahawa sistem demokrasi di negara tersebut akan runtuh meningkat sebanyak sembilan-titik sejak soalan yang sama diajukan pada Januari tahun ini dan ianya kini menyamai 67 peratus daripada keseluruhan rakyat.
Pengundi kedua-dua parti politik di AS bersepakat dalam hal kebimbangan mereka terhadap masa depan demokrasi di negara tersebut.
Undian tersebut menunjukkan bahawa 72 peratus pengundi Demokrat dan 70 peratus pengundi Republikan melaporkan bahawa mereka bimbang akan kehancuran demokrasi. Manakala pengundi bebas yang berkongsi kebimbangan yang sama adalah sebanyak 69 peratus.
Lebih dari tiga per empat daripada golongan wanita pula bimbang mengenai masa depan negara tersebut bersama-sama dengan sistem demokrasi yang diamalkan. Manakala 58 peratus dari golongan lelaki berkongsi kebimbangan yang sama.
Perbezaan di antara kebimbangan yang dihadapi oleh golongan kulit putih berbanding golongan kulit hitam pula hanyalah pada satu peratus, di mana golongan kulit putih mempunyai peratusan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 70 peratus.
Terdapat juga undian lain yang dijalankan oleh NBC News yang mendapati bahawa hanya 21 peratus pengundi yang merasa bimbang akan ancaman terhadap demokrasi, diikuti dengan kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan ekonomi.