Raja Salman Tanggung Kos 1,000 Jemaah Haji Keluarga Syuhada Palestin
RIYADH, 12 Jun 2023 – Raja Arab Saudi, Raja Salman ibn Abdulaziz Al Saud menanggung kos perbelanjaan bagi 1,000 jemaah haji daripada keluarga rakyat Palestin yang syahid, cedera dan menjadi tawanan.
Lapor media antarabangsa, Raja Salman mengeluarkan arahan tersebut sebagai inisiatif daripada Program Penjaga Dua Masjid Suci Jemaah Haji setiap tahun yang diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Seruan dan Bimbingan Arab Saudi.
Menerusi satu kenyataan, Menterinya, Sheikh Dr. Abdullatif bin Abdulaziz Al-Sheikh mengucapkan terima kasih kepada Raja dan Putera Mahkota Saudi atas sokongan berterusan mereka terhadap keluarga dan saudara mara syuhada Palestin serta mereka yang tercedera.
BACA JUGA: JAKIM Sangkal Dakwaan Sijil Halal Mahal, Hanya RM200
BACA JUGA: Orang Awam Dijemput Beri Pandangan Terhadap Pertumbuhan Ekonomi Negara
BACA JUGA: Masjid Pertama Anti-Gempa Dijangka Siap Ogos Ini
Ujarnya, “Kesinambungan sikap murah hati ini terhadap jemaah haji Palestin yang menunaikan Haji setiap tahun dengan perbelanjaan daripada Penjaga Dua Masjid Suci adalah penegasan kepada keakraban hubungan dan penghargaan Baginda terhadap pengorbanan besar yang dilakukan oleh rakyat Palestin.”
Menurut laporan, program tersebut merangkumi semua aspek dalam melaksanakan ibadah haji.
Sebelum ini, Arab Saudi telah mengumumkan rancangan operasi musim haji 1444H yang terbesar, sejak berakhirnya pandemik COVID-19.
Rancangan tersebut turut menetapkan lebih 8,000 peluang sukarelawan dengan jam kerja lebih 200,000 jam semasa musim haji tahun ini.