Tempatan

Raja-Raja Pemerintah Sependapat Pada 7 Perkara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2021- Dalam Persidangan Khas Raja-Raja Melayu hari ini, Duli-Duli Yang Maha Mulia telah bersependapat dalam tujuh perkara berikut:

(i) Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara perkara lain.

(ii) Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80% secepat mungkin.

(iii) Program menangani wabak Covid-19, hendaklah difahami serta
mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

(iv) Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

(v) Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

(vi) Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

(vii) Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

“Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab (accountable) kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

“Dalam semangat tersebut, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.”

Tambah beliau lagi, di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Oleh yang demikian, kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan Covid-19 wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini.

Ujar Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad lagi, Raja-Raja Melayu dalam masa yang sama menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sifat Baginda mengamalkan budaya bermesyuarah, bersedia mendengar pandangan daripada institusi yang mewakili rakyat, dan pada hari ini mengadakan pertemuan untuk mendapatkan nasihat daripada Raja-Raja Melayu yang memerintah sembilan buah negeri dengan kedaulatan masing-masing.

Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu perkara besar yang memerlukan.

“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri, untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.”

“Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang,” ujar beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan dengan titah perkenan Raja-Raja Melayu hari ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker