Tempatan

Raja Permaisuri Umum Penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia Di Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 27 September 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia bagi mengiktiraf karyawan yang berkemahiran dalam ketukangan kraf di Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8, semalam.

Majlis yang diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya itu disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Turut berangkat KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, DYMM Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, YMM Raja Perempuan Tengku Anis dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya.

Berangkat sama mengiring, anakanda Seri Paduka Baginda berdua, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Simposium yang dianjurkan dua tahun sekali ini turut menampilkan pameran tekstil termasuk koleksi tenun peribadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan Sabah, pua kumbu Sarawak, anyaman mengkuang, ukiran kayu serta jualan pelbagai kraf.

Selain itu, 19 kertas kerja akan dibentangkan di majlis tersebut oleh 13 penceramah dari pelbagai negara dan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari Malaysia, negara-negara anggota ASEAN dan rantau lain menyertai simposium tersebut yang merupakan platform membincangkan serta berkongsi maklumat mengenai isu berkaitan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ini.

Bertemakan ‘Celebrating Textiles: A Journey’, simposium yang telah mula diadakan sejak tahun 2005 itu, telah dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kraftangan Malaysia serta Institut Kraf Negara (IKN) pada tahun ini dan berlangsung selama enam hari bermula 25 September 2022.

Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan pada 29 September 2017 bertujuan memajukan Tenun Pahang Diraja sebagai perusahaan kraf warisan yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penggiat seni dan penenun.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: