Raja Permaisuri Agong Zahir Kebimbangan Terhadap Rakyat Gaza, Gesa Gencatan Senjata
ISTANBUL, 16 November 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Gaza sekali gus menggesa gencatan senjata dilaksanakan dengan kadar segera.
Menerusi Titah DiRaja dalam Sidang Kemuncak “United for Peace in Palestine: There is No Loss in Peace” yang berlangsung di Istanbul, Turkiye semalam, Seri Paduka Baginda bertitah, “Kita tidak boleh membiarkan pengeboman berterusan, kita mesti secara kolektif menyeru agar permusuhan dihentikan segera.”
“Saya berdiri di sini untuk menyertai gesaan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera dan saya merayu kepada pemimpin dunia untuk memberi tekanan ke arah usaha menamatkan kegilaan ini.”
Dalam pada itu, Tunku Azizah mezahirkan kebimbangan dengan bertitah, “Saya berang dengan pencabulan hak asasi manusia yang serius ini, saya tidak boleh berdiam diri lagi… Saya bimbang untuk rakyat Gaza, demi keselamatan kanak-kanak, saya bimbang atas dasar kemanusiaan kita.”
Menurut Seri Paduka Baginda, tiada manusia harus hidup menderita atau berada dalam ketakutan berterusan. Rakyat Gaza telah dinafikan dan disekat daripada menjalani kehidupan kanak-kanak dan keluarga yang normal.
“Ini sememangnya satu pencabulan secara serius terhadap hak asasi manusia…hak untuk menikmati kehidupan normal dan sempurna,” tegas Seri Paduka Baginda.
Sidang kemuncak itu telah dihoskan oleh wanita pertama Turkiye, Emine Erdogan serta dihadiri pasangan pemimpin dari pelbagai negara.