Tempatan

Raja Permaisuri Agong Lawat Pusat Songket Di Penjara Sarawak

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUCHING, 30 Mac 2022 – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Pusat Vokasional Industri (PVI) Songket SaraPride di Penjara Puncak Borneo.

Seri Paduka Baginda yang tiba di Kompleks Penjara Puncak Borneo pada jam 10.30 pagi telah meluangkan masa selama lebih satu jam di PVI Songket SaraPride bagi menyaksikan pameran dan tenunan yang dihasilkan para banduan penjara itu.

Baginda turut diiringi oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang yang juga Penaung Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak serta Datuk Nordin Muhamad, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia.

Selepas lawatan ke PVI Songket SaraPride, Tunku Azizah turut dipersembahkan dengan peragaan tekstil yang merupakan produk dari Jabatan Penjara Malaysia sambil menjamu santapan tengahari.

Dalam majlis santapan itu, Nordin turut berucap dengan mengatakan bahawa Jabatan Penjara akan terus berusaha untuk melahirkan penghuni penjara yang dilengkapi dengan kemahiran sekaligus membolehkan mereka mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang tenunan di kelas antarabangsa.

Tunku Azizah juga berkenan berangkat ke Muzium Budaya Sarawak bernilai RM323 juta yang menjadi kebanggaan 2.8 juta rakyat Sarawak berikutan ia diiktiraf sebagai muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.

Raja Permaisuri turut meluangkan masa di galeri-galeri yang mempamerkan sejarah dan kebudayaan Sarawak selain pameran artifak lama yang mempunyai nilainya yang tersendiri.

Susulan dari lawatan singkat Baginda, pihak Muzium Budaya Sarawak telah memberikan sehelai kain Pua Kumbu kepada Raja Permaisuri sebagai tanda kenang-kenangan.

Rekaan Muzium Budaya Sarawak bercirikan binaan moden yang dilengkapi dengan ruangan pameran berkeluasan 6,628 meter persegi.

Bukan itu sahaja, muzium itu juga mempunyai kemudahan untuk proses pemuliharaan dan makmal yang menepati piawaian antarabangsa serta ruang penyimpanan koleksi-koleksi muzium.

Leave a Reply

Back to top button