Tempatan

Raja Permaisuri Agong Berkenan Berangkat Ke Program World #Quranhour 2022

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 April 2022 – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke program World #QuranHour 2022 di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, semalam.

Seri Paduka Baginda berangkat ke program tersebut dengan disambut oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, menurut kenyataan Istana Negara di laman Facebook.

Dengan tema ‘Dunia Bersujud’ sambutan World #QuranHour 2022 kali ke-7 pada Selasa bersamaan 24 Ramadan 1443H telah diadakan serentak di seluruh dunia bermula pada jam 12 hingga jam 1 tengah hari.

Program itu dinaungi JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkolaborasi dengan rakan sinergi untuk menjayakan misi #QuranHour melalui tiga program utama iaitu World #QuranHour yang diadakan 26 April iaitu semalam, Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dan World #QuranConvention dari 17 hingga 18 Disember 2022.

Sementara itu, Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil berkata, kehadiran Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli ke Program World #QuranHour pada Selasa sudah pasti memberi impak yang sangat besar kepada program berkenaan dan dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya dalam mendukung tiga perkara Surah Al-Sajdah.

“Kita sebagai rakyat melihat bagaimana pemerintah tertinggi ini melahirkan sokongan dan menzahirkan kesanggupan untuk sama-sama mendukung surah ini dan tema ‘Dunia Bersujud’.”

Tambah beliau, “Saya pasti orang-orang yang hadir dalam menjayakan program pada hari ini khususnya akan dapat mengambil manfaat sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang telah digariskan iaitu yakin kepada ALLAH SWT, sujud kepada ALLAH SWT dan tidak sombong dalam kehidupan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: