Raja Jordan Tolak Rancangan Israel Duduki Bahagian Gaza
AMMAN, 14 November 2023 – Raja Jordan, Raja Abdullah menolak sebarang rancangan Israel untuk menduduki bahagian Gaza atau mewujudkan zon keselamatan dalam kawasan itu sambil menyatakan bahawa akar krisis adalah berpunca daripada penafian Israel terhadap “hak sah” rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan yang dibuat di istana diraja, Raja Abdullah dilaporkan memberitahu kepada ahli politik bahawa tiada “penyelesaian ketenteraan atau keselamatan” terhadap konflik yang berlaku antara Israel dan rakyat Palestin.
Menurut Baginda, enklaf yang dilanda peperangan di Gaza tidak sepatutnya dipisahkan oleh Israel dari wilayah Palestin yang lain.
Baginda memberitahu ahli politik bahawa “akar kepada krisis adalah penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin dan penafian hak yang sah kepada rakyat Palestin”.
“Penyelesaian bermula dari situ dan sebarang jalan lain hampir pasti gagal dan membawa kepada kitaran keganasan dan kemusnahan,” katanya.
Raja Abdullah turut menyatakan bahawa beliau telah lama memberi amaran berhubung pencerobohan Israel di Tebing Barat di mana Jordan turut berkongsi sempadan.
Katanya juga, serangan peneroka Yahudi ke atas warga Palestin boleh “mengembangkan konflik dan mendorong rantau itu ke jurang”.
Pada bulan ini, Raja Abdullah pernah berkata, satu-satunya cara untuk mencapai keamanan kekal adalah dengan menghidupkan semula rundingan mengenai negara Palestin yang merdeka dengan Israel.