Raja Jordan Minta Israel Benar Umat Islam Palestin Ibadah Ramadan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMMAN, 01 April 2022 – Raja Jordan, Raja Abdullah ІІ meminta Israel menghapuskan halangan kepada kebebasan umat Islam di Palestin untuk beribadah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Raja Abdullah mengutarakan perkara tersebut dan menyuarakan kembali sokongan Jordan kepada penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel.
Perjumpaan Benny Gantz, Menteri Pertahanan Israel dengan Raja Abdullah pada Selasa lalu merupakan usaha negara tersebut untuk memupuk hubungan yang lebih rapat dengan negara jiran, Jordan setelah bertahun-tahun diabaikan.
Sebelum perjumpaan itu, Raja Abdullah telah melawat Tebing Barat bagi berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Palestin. Dalam pada itu, diplomat Israel dan Arab turut mengadakan satu sidang kemuncak disertai Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.
Lawatan Raja Abdullah ke bumi Gaza dan ketiadaan baginda dalam sidang kemuncak itu merupakan peringatan bahawa isu Palestin tidak pudar daripada agenda serantau.
“Raja Abdullah bertitah bahawa mengekalkan keamanan secara menyeluruh memerlukan penghormatan terhadap hak umat Islam untuk melakukan ibadah dalam Masjid al-Aqsa,” ujar Istana Diraja Jordan.
Pada tahun lalu, telah berlaku satu insiden berdarah di bumi al-Aqsa pada Jumaat terakhir Ramadan di mana ribuan jemaah dibedil dengan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan ketika sedang menunaikan solat tarawih. Insiden tersebut mencederakan sekurang-kuranya 200 rakyat Palestin.