Tempatan

Qari remaja OKU penglihatan terima mesin Braille

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SUNGAI PETANI, 27 Februari 2022 – Qari remaja kurang penglihatan, Muhammad Afiq Haikal Norazizi menerima bantuan sumbangan mesin Braille dari Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Ibunya yang juga ibu tunggal, Nornadia Mohamad Ghazali, 42, meluahkan rasa syukur apabila anaknya akhirnya menerima mesin Braille yang baharu dan lebih elok setelah 10 tahun menggunakan mesin Braille terpakai.

“Alhamdulillah selepas 10 tahun menggunakan mesin Braille terpakai, anak saya akhirnya terima mesin baharu yang lebih elok,” ujarnya.

Menurutnya, anaknya selama ini hanya menggunakan mesin Braille yang dipinjamkan dari pihak sekolah dan menyatakan anaknya teruja dengan sumbangan tersebut.

“Sebelum ini Haikal guna mesin Braille terpakai sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira 10 tahun yang lalu, namun mesin itu sudah dua kali rosak.”

Tambahnya lagi, mesin tersebut sukar untuk dibaiki kerana alat gantinya sukar untuk dicari. Beliau bersyukur dengan sumbangan itu berikutan kos untuk membeli mesin Braille mencecah lebih RM4,000.

“Mesin Braille itu juga susah dibaiki selain alat gantinya sukar dicari. Jadi sumbangan ini amat bermakna kerana untuk membelinya memerlukan kos agak tinggi berikutan harganya lebih RM4,000,” katanya sewaktu ditemukan di Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan YBR pada 22 Februari di Sungai Petani.

Melalui sumbangan tersebut, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berharap agar ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga Haikal selain memudahkan Haikal untuk mengulangkaji pelajaran dalam keadaan yang lebih selesa.

Pihak YBR terpanggil untuk memberi sumbangan mesin Braille yang bernilai RM4,380 itu kepada Haikal setelah menerima permohonan daripada Nornadia tahun lalu.

Dalam pada itu, pihak YBR turut memberikan sumbangan kepada 3,150 pelajar golongan B40 di Kedah, Pulau Pinang dan Perak berjumlah RM315,000 sempena pembukaan semula sesi persekolahan bulan depan.

“Kita juga berharap sumbangan ini dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan Haikal pada masa hadapan,” tambahnya.

Baru-baru ini, Haikal dipilih sebagai Johan Hafazan dalam Karnival e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2021, malah mendapat tangga pertama untuk nyanyian solo di Pertandingan Virtual Run dan e-Kesenian Olimpik Khas Negeri Kedah 2021.

Haikal sebelum ini pernah menarik perhatian orang ramai dengan keadaan istimewanya sewaktu menyertai program realiti keagamaan kanak-kanak, Qari Junior pada 2016. Remaja yang cenderung terhadap ilmu agama sejak berusia tiga tahun itu turut cenderung dalam hafazan al-Quran. Meskipun cacat penglihatan, namun bagi Haikal ia tidak menjadi penghalang untuknya mengejar minat dalam bidang agama.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: