Tempatan

Puteri YDPA Dilantik Sebagai Perwakilan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2021 – Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, puteri kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dilantik sebagai Perwakilan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan Bernama, pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan akan menegaskan usaha Malaysia ke arah meningkatkan kesedaran kesihatan mental, rawatan dan cabaran dasar.

“Saya telah berpeluang bekerjasama dengan pihak berkepentingan kesihatan mental tradisional dan bukan tradisional. Saya telah melihat bagaimana usaha itu telah menerima sokongan hebat dengan idea-idea baharu dan pandangan tentang cara untuk memecahkan halangan dan mendorong agenda itu di negara kita. Saya tidak sabar untuk menyampaikan kisah Malaysia di PBB.”

“Menjadi Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 ketika pandemik Covid-19 satu penghormatan. Perbualan saya mengenai kesihatan mental berubah menjadi lebih baik,” kata Tengku Puteri Iman Afzan yang juga merupakan pengasas perusahaan sosial Green Ribbon Group.

“Kesihatan mental tidak boleh diperjuangkan sendirian, ia memerlukan segala input dan saya menantikan 2022 yang amat memberangsangkan,” tegas Tengku Puteri Iman Afzan lagi.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Dr Andrew Mohanraj, pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan bukan sahaja pencapaian buat Malaysia malah pengiktirafan terhadap peranan Tengku Puteri Iman Afzan sebagai pendukung antarabangsa untuk kesihatan mental.

“Kami yakin Tengku Puteri Iman Afzan akan mewakili kepentingan WFMH dan menjadi suara advokasi kesihatan mental di PBB,” katanya.

Tengku Puteri Iman Afzan akan ditauliah di Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) PBB di New York.

Tengku Puteri Iman Afzan akan disokong Presiden WFMH, Setiausaha Agung, Presiden Dipilih dan Naib Presiden Serantau untuk Amerika Utara dan Caribbean.

Leave a Reply

Back to top button