Tempatan

Puteri Sulung Agong Ketuai Delegasi Malaysia Ke Kongres Kesihatan Mental

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2022 – Puteri Sulung KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimaklumkan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Kongres Persekutuan Kesihatan Mental Dunia ke-23 di Westminster, London, pada 27 Jun hingga 1 Julai, lapor sebuah portal media tempatan.

Selain diiringi ahlinya, Pengasas dan Presiden Green Ribbon Group (GRG) serta Penaung Kongres Dunia ke-23 itu akan diiringi Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj dan Pengarah Eksekutif, Sue Jen Cheong.

Menurut laporan yang diterbitkan, GRG memberitahu bahawa YAM Tengku Puteri Iman Afzan akan merasmikan Kongres Dunia ke-23 pada 28 Jun bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Mental dan Penggunaan Bahan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Devora Kestel dan Presiden Persekutuan Kesihatan Mental Dunia, Dr Nasser Loza.

“Ucapan Puteri ‘Mental Health: We Can and Need to Do Better (Kesihatan Mental: Kita Boleh dan Perlu Melakukan Lebih Baik) akan menyentuh mengenai landskap kesihatan mental di Malaysia semasa pandemik dan pemulihan negara ke arah normal baharu serta kepelbagaian platform kesihatan mental yang ada dan peranan mereka dalam menggerakkan masyarakat,” kata GRG.

Dalam laporan sama, GRG menerangkan mengenai acara yang akan bermula pada 27 Jun dengan lawatan ke badan amal kesihatan mental para ibu – topik yang jarang dibincangkan, namun Yang Amat Mulia akan terus komited dalam menyuarakan isu berkaitan kesihatan mental.

“Diikuti dengan sesi meja bulat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, yang akan dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Zahid Rastam dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Education Malaysia, United Kingdom dan Eire Council for Malaysian Students (UKEC) dan Mercy Malaysia UK,” lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, Dr Andrew dalam kenyataan sama berkata, jemputan YAM Tengku Puteri Iman Afzan sebagai penaung kongres dunia itu telah berjaya menempatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam melaksanakan inisiatif kesihatan mental masyarakat yang inovatif di peringkat persada dunia.

“Ia juga merupakan pengiktirafan terhadap kerja advokasi kesihatan mental yang dilakukan oleh Tengku Puteri melalui GRG,” ujar Dr Andrew yang juga merupakan Bendahari Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental.

Menurut kenyataan sama, pelantikan Yang Amat Mulia sebagai penaung kongres dunia itu julung kalinya menyaksikan kehadiran delegasi Malaysia dan kali pertama mewakili Asia. Lawatan ke London adalah peluang untuk mempelajari amalan terbaik mengenai topik khusus, seperti kesihatan mental para ibu, kesihatan mental di tempat kerja dan kesihatan mental remaja.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: