Pulau Tioman Diiktiraf Pulau Tenaga Hijau Ketiga Dalam Negara
ROMPIN, 21 Mei 2024 – Pulau Tioman kini diiktiraf sebagai Pulau Tenaga Hijau selepas Pulau Perhentian dan Pulau Redang setelah dua tahun usaha pembangunan taman solar, pembekalan elektrik untuk tujuan pusat data baru dan penjanaan hidrogen hijau dijalankan.
Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi penggunaan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), YH. Dato’ Haji Idros Yahya berkata, usaha dilakukan bagi membolehkan pembekalan tenaga elektrik dilaksanakan di Pulau Tioman agar lebih lestari dan mesra alam menerusi pemasangan panel-panel solar.
“Apa yang kita laksanakan sekarang ini adalah yang pertama sekali kita cuba menggunakan solar kita pun telah mendapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk memasang lapan solar utama terutama sekali di atas jeti-jeti yang terdapat di Pulau Tioman sebagai dua fungsi iaitu sebagai atap kepada pelancong dan yang kedua panel solar akan diletakkan di atas itu (bumbung) untuk menghasilkan tenaga,” katanya.
Selain itu, projek mini hidro turbin juga dilaksanakan bagi menghasilkan tenaga dengan sebanyak 28 peratus kadar penggunaan penggantian tenaga telah berjaya dicapai meskipun sasaran sebenar adalah pada tahun 2040.
Pihak TDA turut melihat potensi-potensi penggantian tenaga yang lain menggunakan angin dan ombak dan membuat kajian terperinci bersama TNB Research untuk memasang Off Shore Solar atau solar di lautan memandangkan Tioman berada di dalam kawasan Taman Laut.
Malah, pengurusan sisa pepejal juga dilupuskan dengan proses yang sistematik dengan mematuhi keperluan tenaga hijau selain menukarkan sisa tersebut kepada bentuk keperluan lain yang dapat memaksimakan penggunaan bahan sisa tersebut sekali gus mengelakkan pembaziran sisa pepejal.