Tempatan

Pulau Pinang Tekad Mahu Air Perak, Guna Saluran Kerajaan Pusat

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGETOWN, 04 Disember 2022 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad ingin meneruskan rundingan dengan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Perak dan agensi berkaitan berhubung Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS).

“Kita akan teruskan usaha ini (rundingan) dengan Kerajaan Pusat, kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri Perak berhubung projek kritikal ini.”

“Saya sudah teliti rumusan eksekutif daripada laporan perunding Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang memutuskan bekalan air (Sungai Perak) adalah mencukupi,” kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Jelasnya, beliau menerima laporan daripada KASA perunding bagi penelitian keadaan air di Perak Utara dan Pulau Pinang pada September lalu dan mendapati air dari Sungai Perak mencukupi untuk kegunaan Perak Utara dan Pulau Pinang.

“Laporan terbaharu daripada KASA telah mengesahkan memang bekalan air dari Sungai Perak mencukupi untuk menampung bekalan air untuk Perak Utara dan Pulau Pinang.”

“Jika projek ini tidak ada, beratus juta liter air dari Sungai Perak akan terus memasuki laut, inilah hakikatnya,” katanya.

Tambah beliau, sebarang rundingan atau keputusan lanjut mengenai projek SPRWTS mesti berpandukan hasil laporan perunding KASA berkaitan bekalan air dari Sungai Perak itu.

“Kita hormati pandangan Menteri Besar Perak, namun isu ini penting kerana membabitkan peranan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi untuk kawasan Utara.”

“Sekiranya projek ini tidak dilaksanakan, Pulau Pinang akan berdepan dengan masalah bekalan air yang meruncing pada masa depan terutama menjelang 2050.”

“Malah dalam laporan itu juga, ada pilihan diberikan untuk pelaksanaan projek ini dan kos bagi setiap pilihan serta komponen projek, rata-rata kos projek ini adalah RM4 bilion hingga RM5 bilion yang perlu dipertanggungjawab oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri terlibat.”

Sebelum ini, samudera.my melaporkan Kerajaan Negeri Perak memutuskan untuk tidak membekalkan air mentah ke Pulau Pinang seperti yang dicadangkan.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata keputusan itu muktamad meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersama-sama membentuk kerajaan Perak kerana kapasiti air Sungai Perak hanya mencukupi untuk kegunaan domestik Perak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: