Tempatan

Pulau Perak Titik Barat Malaysia Bagi Hitungan Kalendar Islam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KEDAH, 27 Julai 2022 – Menggantikan Tanjung Chinchin di Langkawi, kini Pulau Perak diisytiharkan sebagai titik rujukan yang paling barat buat Malaysia bagi menghitung kalendar Islam di negara ini, lapor media tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, pengisytiharan itu dilakukan menerusi kajian dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang melaksanakan penjanaan data.

Menurut beliau, pada mesyuarat 12 Mac 2020, Panel Pakar Falak Malaysia memutuskan bahawa titik rujukan paling barat Malaysia di Pulau Perak akan digunakan berkuat kuasa 1 Muharam 1444 Hijrah dalam menjana takwim hijri di negara ini.

“Keputusan itu kemudiannya diangkat kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-118 yang bersidang Februari tahun lalu.”

“Muzakarah bersetuju mengenai perubahan titik rujukan tersebut dalam penyediaan takwim hijri bermula 2022 atau 1444 hijrah,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pengisytiharan Pulau Perak sebagai Titik Rujukan Paling Barat Malaysia bagi Hitungan Kalendar Islam dan Pelancaran Bulan Falak Kebangsaan 2022 beberapa hari lalu.

Tambah beliau, pengisytiharan lokasi tersebut dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan baginda juga turut berkenan merasmikan majlis pengisytiharan tersebut.

Signifikan perubahan titik rujukan paling barat di Malaysia itu dibuat kerana lokasi Pulau Perak didapati berada di kedudukan paling barat dengan koordinat latitud 5° 41′ 05″ utara dan longitud 98° 56′ 14″ timur berbanding titik rujukan Tanjung Chinchin, Pulau Langkawi, lapor Kosmo!.

Leave a Reply

Back to top button