Pulau Meranti Lubuk Penempatan Haram & Kebun Sayur Haram PATI
PUCHONG, 06 Mei 2023 – Pulau Meranti dipercayai menjadi lubuk baharu golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membina penempatan dan kebun secara haram.
Menurut laporan media tempatan, sejak penghujung Ramadan sehingga beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, kawasan itu menyaksikan peningkatan mendadak kemasukan PATI ekoran penduduk tempatan pulang ke kampung untuk berhari raya.
Mereka didapati membina penempatan haram di Pulau Meranti kerana kawasan itu berada di sekitar grid elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Malah, terdapat dakwaan bahawa kebanjiran PATI di kawasan itu naik mendadak selepas 14 Februari lalu apabila pihak berkuasa telah membuat serbuan di Cyberjaya.
Tinjauan selanjutnya mendedahkan, kemasukan kenderaan keluar masuk membawa sayur-sayuran dari kebun haram pada setiap jam, manakala kemasukan warga asing ke kawasan itu pula bermula sekitar jam 8 hingga 9 pagi dan di sebelah petang pada pukul 3 hingga 6 petang.
BACA JUGA: Cuaca Panas Melampau: Hampir 8,000 Hektar Sawah Padi Di Kelantan Alami Kerosakan
BACA JUGA: Uganda Hukum Mati Mandatori Pesalah Homoseks
BACA JUGA: Kes ‘Pembunuhan Cyanide’: Wanita Thailand Dituduh Atas 14 Kematian
Sementara itu, seorang penduduk asal Pulau Meranti memetik nama saudagar sayur di kawasan berkenaan iaitu Jamal. Katanya,
“Jamal dan PATI yang masuk ke sini menceroboh tanah TNB dan tanah kerajaan Selangor di sekitar Pulau Meranti sehingga semakin ramai warga asing pelbagai negara dibawa berkampung di sini.”
“Setiap kali kebanjiran warga asing di Pulau Meranti disiar di akhbar, Jamal akan datang bersama pekerjanya ke rumah penduduk kampung. Jamal datang untuk bertanya jika ada tanah-tanah orang kampung untuk disewakan. Jamal kata dia risau sebab tanah yang dicerobohnya itu sudah mendapat perhatian akhbar.”
Selain itu, individu berkenaan juga didakwa mempunyai ‘kawan’ di kalangan orang Kerajaan menyebabkan dia mampu mengusahakan tanah Kerajaan.
Bagaimanapun, penduduk itu mengakui kebanjiran PATI di Pulau Meranti merimaskan penduduk tempatan kerana mereka terlalu bebas walaupun menetap di kawasan yang diceroboh.
Mengulas lanjut, seorang lagi penduduk lain menegaskan bahawa warga asing di kawasan tersebut membabitkan komuniti sama yang lari dari Cyberjaya Februari lalu.