Pukul Pengawal Peribadi Berpuasa Adalah Perbuatan Rasis – Tan Sri Musa Hassan
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Kuala Lumpur – “Tidak sepatut berlaku isu dua pengawal peribadi dipukul dan diacu pistol oleh majikan hanya kerana menjalani ibadah berpuasa,” tegas mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Menurutnya, hal ini kerana pelakunya adalah seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya arif tentang Perlembagaan Persekutuan yang mana Islam adalah agama Negara dengan majoriti populasi Melayu Muslim dan lain-lain agama dibenar dianuti.
Jelas beliau, perkara ini berlaku kerana pelakunya merasakan ia berkuasa penuh sebagai majikan sehingga boleh mengawal dan melarang serta menghina penganut agama lain untuk tidak mengamalkan tuntutan agamanya, di mana dalam kes, mangsa adalah Muslim.
“Pelaku berasa begitu yakin memandangkan dia sendiri menjalankan sindiket haram yang melibatkan judi haram dan ah long dan tidak gentar kepada sesiapa.”
“Mungkin kerana hubungan rapatnya dengan orang-orang tertentu yang dia ingat boleh menolongnya,” kata beliau.
Persoalannya, bukankah ini satu perbuatan bersifat perkauman dan keagamaan dan kenapa pihak polis cakap ini bukan isu perkauman? Tan Sri Musa Hassan menjelaskan perbuatan pelaku yang mengugut, menghina dan memukul pekerjanya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam adalah satu perbuatan yang boleh dianggap rasis terhadap penganut agama lain dan bangsa lain yang boleh mencetuskan isu perkauman.
Tegas beliau lagi, polis mungkin menganggapnya sebagai bukan isu perkauman kerana ia dianggap satu kes yang tercetus antara majikan dan pekerja serta dianggap sebagai “isolated case”.
Ketika ditanya melalui pengalaman beliau sebagai mantan Ketua Polis Negara (KPN) tentang bagaimana pihak berkuasa seperti PDRM boleh menangani isu sebegini Tan Sri Musa berkata, pihak polis perlu menganggap kes ini sebagai kes serius di atas sebab-sebab berikut:
Pertama, ia adalah kezaliman terhadap pekerja yang ianya adalah suatu jenayah dan kedua ia adalah perbuatan menghina agama yang diamalkan oleh seseorang yang juga suatu kesalahan jenayah. Manakala ketiga, mengacu senjata dan mengugut secara jenayah, juga satu kesalahan di bawah Akta Senjata Api. Ia juga suatu perbuatan ugutan cuba membunuh dan keempat menggunakan kekerasan dan mendatangkan cedera kerana memukul mangsanya dengan rotan apatah lagi memiliki senjata api yang jelas kesemua itu merupakan satu kesalahan yang besar.
Terbaru, hasil siasatan mendapati majikan tersebut terlibat dengan judi haram dan kegiatan ah long sehingga pihak polis membuat rampasan bernilai jutaan ringgit.
Tan Sri Musa berkata, pihak polis perlu menyiasat sama ada pelaku jenayah juga terlibat dengan kegiatan kongsi gelap dan kegiatan pengubahan wang haram memandangkan rampasan jongkong emas dan wang dalam jumlah yang besar.
Justeru, siasatan perlu menjurus untuk mengenal pasti ahli-ahli kumpulannya untuk diambil tindakan.
Beliau yang juga aktivis Melayu Islam melihat ada majikan-majikan bukan Islam di negara ini yang masih bersikap bermusuhan terhadap pekerja beragama Islam yang ingin solat dan berpuasa.
“Memang wujud segelintir majikan-majikan bukan Islam yang tidak mesra dengan pekerja Muslim terutama sekali tidak menyediakan tempat solat dan juga tidak membenar bersolat diwaktu bekerja.”
Kata beliau, perkara ini tidak akan berlaku jika mereka faham Perlembagaan Negara dan tidak bersifat rasis terhadap Muslim.
“Pada amnya, saya merasakan ramai majikan yang non-muslim menghormati mereka yang berlainan agama,” katanya.
Diminta pandangan beliau terhadap SUHAKAM yang kononnya juara isu-isu hak asasi manusia di Malaysia yang sebelum ini hanya bersuara setelah didesak oleh PEMBELA malah, yang terbaru cuba untuk menghalalkan industri pelacuran dan dalam hal ini mereka agak keberatan menyuarakan pandangan serta apa agenda yang diperjuangkan SUHAKAM sebenarnya, Tan Sri Musa berkata, SUHAKAM sepatutnya tidak bias dalam menyuarakan isu-isu hak asasi dan hanya menyuarakan jika melibatkan pihak-pihak tertentu sahaja.
“Mereka perlu menyuarakannya jika perkara hak asasi manusia dilakukan oleh sesiapa pun, sama ada oleh pihak minoriti atau pun oleh pihak majoriti.”
“Saya merasakan pihak kerajaan dan berwajib perlu berusaha untuk meningkat perpaduan di dalam negara ini bukan sahaja antara kaum tetapi juga sesama kaum sendiri.
Kalau dilihat dewasa ini bukan sahaja jurang perhubungan antara kaum dan juga dalam kaum sendiri tidak wujud perpaduan yang tulen. Mungkin kerana ini disebabkan oleh perbezaan ideal dan politik.
Menyentuh sekilas, mengenai isu iklan judi online Aidilfitri yang sedang hangat diperkatakan sekarang, Tan Sri Musa berkata, iklan judi ini patut diharamkan kerana ia bukan budaya Islam dan tidak sepatutnya dilakonkan oleh orang Muslim.