Tempatan

Puan Loh Tidak Pernah Beri Persetujuan Anak Masuk Islam – A. Srimurugan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 09 Mac 2022 – A. Srimurugan, bersama dua orang lagi peguam kepada Loh Siew Hong telah menyatakan bahawa Loh tidak pernah memberikan kebenaran untuk anaknya diislamkan, dalam sebuah kenyataan bersama seperti dilaporkan The Vibes baru-baru ini.

Peguam Loh tersebut turut menegaskan bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sepatutnya tidak melayan anak-anak tersebut sebagai Muslim sebelum ketetapan status agama mereka dikeluarkan.

Mereka turut menyatakan bahawa penukaran agama memerlukan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa, di mana peguam-peguam tersebut menegaskan hal ini adalah berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada tahun 2018.

Tambahnya lagi, MAIPs tidak mempunyai asas untuk mengatakan bahawa ketiga-tiga orang anak tersebut telah memeluk agama Islam kerana Loh sendiri tidak pernah memberi keizinan supaya anak-anak tersebut didaftarkan kepada Islam.

Peguam-peguam yang mewakili Loh Siew Hong ialah A. Srimurugan, Shamsher Singh Thind, dan J. Gunamalar.

Terdahulu, Malaysia digemparkan dengan sebuah kes mahkamah melibatkan Loh Siew Hong, seorang ibu beragama Buddha yang menuntut supaya anak-anaknya yang telah memeluk agama Islam diserahkan di bawah jagaannya.

Terdapat perdebatan dari kedua-dua belah pihak di mana P. Ramasamy, menyifatkan tindakan MAIPs menjaga 3 anak-anak tersebut sebagai sebuah penculikan, manakala Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa anak-anak tersebut telah memeluk Islam dengan rela.

Leave a Reply

Back to top button