Tempatan

PTPTN Wajib Guna BM Dalam Urusan Rasmi, Bukan Mandarin – Dr Anuar Ahmad

Jangan lupa sertai TelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2021 – “Jika tujuan PTPTN memberikan kemahiran bahasa Mandarin, Tamil atau Inggeris sekalipun pada kakitangannya bagi tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan, itu satu pemikiran yang bertentangan dengan maksud ‘RASMI’ dengan fasal 1(a) di dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.”

“Setiap agensi pentadbiran kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri sehinggalah ke pejabat JKKK di kampung mestilah mempunyai dasar bahasa yang jelas iaitu wajib menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi kecuali apabila berurusan dengan pihak luar negara yang perlu menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa selain Bahasa Melayu,” kata Dr Anuar Ahmad dalam kenyataan di Facebooknya semalam.

Menurutnya yang juga seorang pensyarah di Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tidak sepatutnya sebuah agensi atau mana-mana agensi kerajaan menggunakan bahasa lain selain daripada bahasa rasmi kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

“Ini bukan soal suka atau tidak. Ini soal pematuhan pada undang-undang di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan,” tegasnya.

“Ini bukan pandangan saya. Ini adalah fakta yang ada dalam Perkara 152 Perlembagaan. Sekalipun anda tidak bersetuju, kita tidak boleh mengubah fakta tersebut. Sila rujuk Perkara 152 supaya kita semua jelas dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa untuk urusan rasmi dan kedudukan bahasa ibunda sebagai bahasa yang bebas untuk dipelajari,” tambahnya.

Merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang bertajuk “Petugas PTPTN pelajari Mandarin selaras Konsep Keluarga Malaysia”, Anuar berpandangan, cara pemikiran orang atasan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah mengelirukan dan tidak tepat.

Beliau menegaskan walaupun tujuan PTPTN untuk mempelajari bahasa lain adalah baik namun, ianya haruslah atas tujuan menambah ilmu sahaja dan bukannya digunakan dalam perkhidmatan.

“Bila pemimpin agensi tidak jelas tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dengan dasar bahasa ibunda yang bebas dipelajari inilah masalahnya. Mereka mula mencampuraduk dasar bahasa,” katanya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button