PRU15 Dijangka Menelan Belanja Sebanyak RM1 Bilion
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 09 Ogos 2022 – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata perbelanjaan mengurus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka menelan belanja lebih kurang RM1 bilion jika berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat yang mana akan melibatkan sejumlah 21.1 juta pemilih layak mengundi.
Jelasnya, perbelanjaan itu termasuklah latihan dan kursus intensif para petugas di seluruh negara bagi persediaan menghadapi pilihan raya.
“SPR telah mengambil segala inisiatif yang perlu merangkumi segala aspek urusan belanjawan, logistik, keperluan perkakasan dan sistem ICT, pengurusan sumber manusia serta latihan kepada petugas.”
Selain itu beliau memaklumkan, jumlah layak mengundi itu termasuklah 5,718,760 orang pemilih yang telah didaftarkan selepas pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu melalui pewartaan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Ketika ditanya tentang persediaan PRU15, beliau berkata kesemua Pejabat Pilihan Raya Negeri sudah membuat persediaan untuk melaksanakan sekiranya Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, persediaan itu termasuklah mengenal pasti pusat mengundi, pusat penamaan calon, pusat penjumlahan rasmi undi dan petugas pilihan raya.
Sementara itu, beliau berkata SPR amat menggalakkan orang ramai untuk membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih di portal rasmi SPR iaitu https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03- 8892 7018.