PRU-15: Undi Melayu Pecah, Minoriti Main Peranan Penting – Pemerhati Politik
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 November 2022 – Undi minoriti akan memainkan peranan yang sangat penting pada pilihan raya umum kali ini kerana undi Melayu telah berpecah kepada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti kecil seperti Parti Pejuang Tanah Melayu (Pejuang).
Kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian. Menurutnya lagi, adalah jelas bahawa para pengundi minoriti, iaitu orang Cina dan India secara umumnya lebih cenderung untuk memilih PH.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun mereka (PH) tidak mendapat banyak undi dari orang Melayu, namun sokongan daripada komuniti bukan Melayu sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada PH dalam banyak kerusi.
Jika mereka tidak memberi sokongan kepada PH, maka peluang bagi gabungan tersebut untuk memenangi pilihan raya ini adalah agak lemah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibrahim.
Sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center telah mendapati bahawa 32 peratus pengundi berbangsa Melayu cenderung untuk memilih BN, berbanding dengan hanya 20 peratus yang ingin mengundi PN, dan hanya sekitar 13 peratus bagi PH.
Manakala 30 peratus lagi tidak pasti atau tidak mempunyai kecenderungan.
Kaji selidik yang diterbitkan pada 4 November tersebut turut mendapati bahawa 47 peratus dari pengundi Cina cenderung untuk mengundi PH, berbanding hanya 5 peratus yang hendak mengundi BN dan hanya 1 peratus untuk PN.
Manakala 41 peratus dari pengundi Cina dan 8 peratus dari pengundi berbangsa India mengatakan yang mereka tidak mempunyai sebarang kecenderungan, atau mereka masih belum pasti akan pilihan mereka.