Tempatan

PRU-15: Malaysia Airlines Tawar Diskaun 20 Peratus

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEPANG, 21 Oktober 2022 – Malaysia Airlines melancarkan kempen ‘Jom Balik Mengundi’, dengan tawaran tambang diskaun sebanyak 20 peratus untuk membantu perjalanan pengundi balik kampung, susulan pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Promosi 20 peratus diskaun itu juga terpakai untuk semua kategori tambang merangkumi Lite, Basic and Flex bagi Kelas Ekonomi selain Basic dan Flex bagi Kelas Perniagaan serta tersedia untuk tempahan melalui www.malaysiaairlines.com.

Para penumpang boleh membuat tempahan mulai hari ini hingga 19 November 2022, bagi perjalanan dari 11 hingga 27 November 2022.

Selain itu, dimaklumkan juga bahawa syarikat penerbangan itu akan menambah 26 penerbangan dan menaik taraf 16 perkhidmatan domestik kepada pesawat badan lebar A330 bagi menampung lonjakan permintaan ke beberapa laluan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Dalam masa yang sama, portal tempatan melaporkan bahawa Firefly Airlines akan menambah sehingga 70 penerbangan dari Subang dan Pulau Pinang ke laluan domestik terpilih mulai 17 hingga 20 November 2022 dengan diskaun tambang masing-masing 24 peratus dan 10 peratus bagi penerbangan jet dan ATR.

Promosi itu dibuka untuk tempahan mulai hari ini hingga 24 Oktober 2022 bagi perjalanan dari 1 November hingga 30 Jun 2023.

Bukan itu sahaja, pelanggan MASwings yang mengembara dari Miri ke Mulu, Sandakan ke Lahad Datu dan Bintulu ke Sibu boleh menempah penerbangan bermula RM135 sehala tambang semua dalam satu.

Malaysia bakal memilih pemimpin pilihan mereka dalam PRU-15 yang akan diadakan pada 19 November 2022 ini. Tarikh itu dimaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Bin Salleh dalam satu sidang media semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: