Tempatan

20 Peratus Kawasan Persisiran Pantai Terengganu Berisiko Tenggelam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU, 25 FEBRUARI 2024 – Kajian mendapati sejauh 48.7 kilometer (km) daripada keseluruhan 244 km kawasan pesisir negeri ini berisiko tenggelam berikutan hakisan pantai yang serius.

Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, keadaan tersebut menyebabkan pemetaan baharu garis pantai di Terengganu diramal menyaksikan perubahan berbanding garisan tersebut sebelum ini.

“Perubahan garis pantai itu dipercayai berlaku apabila kebanyakan kawasan pantai di Terengganu mengalami hakisan antara satu hingga dua meter pada setiap tahun.”

“Malah di beberapa lokasi dikesan mengalami hakisan serius kira-kira tiga hingga lima meter dalam tempoh tersebut,” katanya.

Antara kawasan pantai yang terbabit ialah Pantai Geliga dan Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Paka dan Pantai Teluk Lipat (Dungun), Pantai Kampung Aur (Kuala Terengganu), Mengabang Telipot (Kuala Nerus) dan Pantai Kampung Teluk Budu (Besut).

“Antara kawasan terjejas teruk di Kuala Nerus bermula dari kawasan Mengabang Telipot sehingga ke Batu Rakit dan kawasan paling teruk terjejas ketika ini ialah di kawasan perniagaan makanan laut, Warung Pok Nong.”

“Ia bukan hanya melibatkan masalah hakisan memandangkan kawasan itu sangat dinamik, sebaliknya menyebabkan mendapan dan berlaku hakisan di bawah batu sehingga ke Pengkalan Maras,” katanya.

Mengulas lanjut, struktur yang dibina seperti benteng hakisan pantai sebelum ini sesuai dengan keadaan cuaca atau musim ribut biasa, bukan untuk ‘extreme event’ atau ombak luar jangkaan.

Jelasnya, situasi tersebut dapat dilihat berdasarkan kesan ribut yang melanda beberapa tahun kebelakangan ini antaranya ribut tropika Jelawat yang berlaku pada 24 Disember tahun lalu, ribut tropika Pabuk (2020) dan taufan Rai (2021).

Katanya, kejadian tiga ribut ini memberi kesan kepada pantai-pantai Terengganu kerana kedudukannya berdepan dengan Laut China Selatan.

“Terbaharu, ribut tropika Jelawat yang melanda pada Disember lalu memberi kesan lebih besar kepada kawasan-kawasan yang terjejas hakisan di Terengganu.” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat kawasan pantai di negeri ini yang mengalami hakisan sebelum ini telah kembali pulih berikutan proses semula jadi alam.

“Terdapat beberapa kawasan pantai terlibat dalam kejadian hakisan kembali kepada asal selepas musim tengkujuh susulan proses baik pulih sedimen dari laut ke atas pantai oleh pergerakan angin,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: