PRU-15: Elak Timbulkan Perkara Yang Boleh Ganggu Ketenteraman & Keselamatan Awam – Ketua Polis Negara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 November 2022 – Semua pihak harus mengelak daripada menimbulkan perkara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan awam memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah berakhir, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Bin Haji Abdullah Sani.
Kata beliau, semua elemen telah digerakkan bagi memastikan ketenteraman awam terjamin dan akan terus bersedia bagi menghadapi fasa pasca PRU-15 dan tempoh pembentukan Kerajaan.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan bahawa tindakan tegastegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang dikesan cuba mengancam tahap keselamatan negara.
Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 219 kertas siasatan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan pada hari pengundian PRU-15.
Menurut Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali, lima lelaki ditahan di Negeri Sembilan dan Selangor kelmarin. Seorang daripadanya didapati membuat kekecohan dengan menhatuhkan peti undi di Sekolah Kebangsaan Hulu Yam, Selangor.
Manakala tiga lagi individu ditahan atas kesalahan bermain mercun di luar pagar Dewan Orang Ramai Kelab Tuanku di Mambau Seremban dan hadapan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.
Untuk rekod, proses pengundian PRU-15 yang dijalankan pada 19 November kelmarin merupakan proses pilihan raya paling sengit pernah dihadapi negara dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.