PRU-15: BN Tawar Pendidikan Tinggi Percuma Golongan B40
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 08 November 2022 – “Pengajian Tinggi percuma kepada semua individu dari keluarga B40, sebagai pelan penamat kemiskinan jangka panjang.”
Berikut merupakan salah satu janji dalam manifesto parti Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam manifesto sama, BN berjanji untuk mengurangkan kos pengajian tinggi dengan pengenalan sistem pengajian anjal (50% di kampus dan 50% atas talian / jarak jauh) yang akan mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.
Manifesto yang terkandung dalam Perancangan Amal dan Usaha (PADU) itu juga menawarkan akan menggalak pengambilan tahun senggang (gap year) kepada mahasiswa bagi memenuhi keperluan dan minat peribadi serta menyumbang kepada masyarakat.
Selain itu, BN juga menjanjikan sistem persekolahan tanpa buku teks dengan pemberian komputer riba percuma kepada semua pelajar B40.
Di samping itu juga, parti itu turut berjanji untuk melebarkan Jaringan Internet 5G dan Wifi Awam (JIWA) di semua sekolah dalam tempoh 18 bulan sekiranya berjaya menjadi Kerajaan dalam PRU-15.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan PADU yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air menjadi negara berkemajuan.
“PADU adalah tawaran baharu yang segar atau ‘a new and fresh deal’ daripada BN kepada rakyat Malaysia.
“PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi, tetapi, PADU adalah pelan yang serius dan rasional,” katanya.
Tegasnya, PADU adalah pelan yang mempunyai sasaran yang jelas dan BN akan amal serta usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua.