PRU-15 Aman Dan Lancar, KPN Puas Hati
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 06 Disember 2022 – Proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berjalan dengan lancar menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam menghadapi proses pilihan raya.
“Kelancaran proses ini menunjukkan masyarakat semakin matang dalam menjalankan tanggungjawab mereka, tanpa perlu mengakibatkan situasi yang mampu mengancam keselamatan seperti yang berlaku di negara asing.”
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan PDRM anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Jenayah (JSPT) Bukit Aman di Dataran Kompleks 3, Cawangan Khas Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, pihaknya berpuas hati dengan proses PRU-15 dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuklah ahli-ahli politik dan penyokong parti politik yang memberikan kerjasama yang baik bagi membolehkan perjalanan PRU-15 berlangsung dengan penuh tertib dan tenteram.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas PDRM termasuk JPST kerana memberikan komitmen yang terbaik sepanjang PRU-15 berlangsung.
“Alhamdulillah, PRU kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang boleh mencetuskan kacau ganggu ketenteraman awam.”
“Tahniah diucapkan kepada semua kerana berjaya melaksanakan tugas serta amanah yang diberikan dengan begitu cemerlang,” katanya.