PRU-15: Agong & Ketua Parti Penentu Kerajaan Jika Tiada Majoriti – Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 November 2022 – “Jika tiada mana-mana parti meraih majoriti, parti-parti boleh mula berunding dengan pihak lain untuk membentuk satu gabungan politik bagi membentuk Kerajaan baharu.”
“Selepas berjaya dilakukan, ketua setiap parti yang bersepakat mewujudkan gabungan politik akan menghadap Agong untuk mempersembahkan kesepakatan mereka membentuk Kerajaan,” kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar kepada sebuah portal tempatan.
Senada dengan beliau, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman juga berpendapat, Yang di-Pertuan Agong yang akan menentukan pembentukan Kerajaan jika tiada pihak meraih majoriti. Namun pembentukan itu perlu disusuli dengan proses di Parlimen.
Selain itu, menurut Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, Kerajaan minoriti boleh dibentuk oleh parti atau gabungan yang mendapat jumlah kerusi terbanyak.
“Namun, kerajaan minoriti biasanya sukar bertahan untuk menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Bila-bila ada parti yang mungkin menarik diri daripada penggabungan itu,” ujarnya.
Bagi Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula, pembentukan Kerajaan Persekutuan tanpa majoriti bergantung kepada kebijaksanaan ketua-ketua parti.
“Ketua-ketua parti perlu berunding untuk membentuk kerajaan campuran. Kalau sukar bentuk, mereka perlu menghadap Agong sama seperti yang berlaku ketika kerajaan Muhyiddin dan Ismail Sabri dibentuk sebelum ini, itu hak dan budi bicara Agong.”
“Kalau susah sangat nak bentuk Kerajaan, Agong mungkin perlu isytihar darurat dan arahkan kerajaan sementara, buat PRU dalam tempoh enam bulan akan datang seperti yang dibenarkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022, esok sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).