PRU-15: 1.8 Juta Kenderaan Di Jalan Raya, PLUS Gesa Ikut TTA
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 November 2022 – Lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan trafik akan meningkat antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari bermula 16 hingga 21 November ini bersempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sehubungan itu, PLUS mengesyorkan pengguna lebuh raya itu untuk mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) seperti yang telah disediakan.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 hingga 18 November ini, pengguna menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
“Bagi pengguna menuju ke negeri lain dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang.”
Ujar beliau lagi, “Bagi perjalanan pulang bermula 20 hingga 21 November, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.”
Selain itu, PLUS juga menghentikan sementara kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong bermula 17 hingga 21 November ini kecuali kerja kecemasan.
Tambah Datuk Zakaria, kira-kira 200 pasukan PLUSRonda akan ditugaskan untuk menjalankan rondaan 24 jam sehari dan 1,500 kakitangan tol bagi melancarkan transaksi.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.