Sejarah Hari Ini

Protes Terbalikkan Bendera: Apa Hak & Legitimasi Mereka?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Majalah National Geographic keluaran Ogos 2012, menyiarkan sebuah kisah perjuangan orang asli Amerika. In The Shadow of Wounded Knee menjadi tajuk kepada penulisan tersebut. Ia mengisahkan tentang nasib masyarakat Sioux di Oglala, Pine Ridge, Dakota Selatan.

Wajah mereka mempunyai iras Melayu. Pada 1975, telah berlaku satu pembunuhan etnik yang melibatkan pergerakan American Indian Movement (AIM) oleh FBI dan kerajaan Amerika. Tanah Adat mereka telah dirampas melalui pelbagai olahan terhadap perjanjian sedia ada. Dari memiliki Amerika sebagai negara mereka, penguasaan kaum Indian Amerika kemudiannya dikelompokkan secara paksa mengikut suku kaum dan tanah adat yang bertaburan di seluruh negara. Imigran kulit putih datang dengan senjata dan perjanjian tipu daya.

Perjuangan mereka sejak dari awal 1700 hingga kini untuk mendapatkan hak tidak pernah berhenti. Pada 1890, ketika kesedaran tentang erti merdeka dan hak untuk mendapatkan kembali apa yang dirampas semakin menebal. Risau dengan kesedaran tersebut, imigran kulit putih yang pada waktu itu berjaya merampas Amerika dan bertindak sebagai kerajaan, mengadakan satu operasi serbuan. Serbuan dijalankan pada waktu satu ritual agama sedang dijalankan di sana. U.S. Indian Policemen dihantar untuk menahan Sitting Bull. Dalam operasi yang kalut itu, Sitting Bull dan beberapa yang lain terbunuh. Melihat keadaan tersebut, salah seorang ketua yang masih tinggal yang dinamakan sebagai Big Foot melarikan diri.

Pada Disember 1890, U.S. Seventh Cavalry Unit, terserempak dengan Big Foot dan orang-orangnya di Porcupine Creek. Pertempuran tercetus. Bila sahaja asap tembakan hilang dan reda, 145 orang, lelaki wanita dan kanak-kanak terbunuh. Kaum Sioux mendakwa statistik tersebut telah diringankan. Korban sebenarnya lebih banyak. Salah seorang yang terbunuh merupakan seorang ibu yang sedang mendukung bayinya dalam keadaan dirinya hampir memegang bendera gencatan tempur.

Pelbagai perkara buruk telah dilakukan kepada penduduk asal Amerika oleh kumpulan imigran kulit putih yang mengambil tampuk pemerintahan melalui tipu daya dan paksa selepas itu.

White Plum, nama individu yang ditemuduga menceritakan bahawa kerajaan yang ditadbir kaum imigran kulit putih telah mencuba pelbagai perkara untuk memastikan kaum mereka tunduk kepada sistem asing yang diperkenalkan di tanah tumpah darah mereka sendiri. Harta benda mereka telah dirampas, ramai di antara mereka dibunuh di dalam genosid-genosid terancang, mereka ditipu berkali-kali di dalam pelbagai perjanjian damai yang ditandatangani. Bahasa ibunda mereka diharamkan. Agama mereka turut diharamkan. Sehinggalah American Indian Religious Freedom Act 1978 diluluskan Kongres, baharulah sebarang percubaan untuk menghalang kebebasan beragama oleh penduduk-penduduk asal Amerika diancam dengan pertuduhan jenayah.

White Plum menyatakan bahawa, hanya ada satu alasan yang membolehkan orang-orang Sioux bertahan di sebalik segala kekejaman ini dan menahan orang-orang Sioux sepertinya daripada bertukar menjadi pembunuh-pembunuh yang kejam. White Plum menyatakan bahawa mereka dapat bertahan kerana keindahan dan kelembutan bahasa ibunda mereka. Kelembutan bahasa mereka melembutkan hati dan melunakkan kembali perasaan mereka. Tiada jalan untuk mendidik mereka menjadi seorang pembenci di dalam bahasa ibunda mereka. Bahasa yang aman. Bahasa yang mendamaikan kata White Plum.

Pada 1975, berlaku satu lagi krisis besar-besaran di sana. Ia bermula dengan tindakan protes oleh AIM yang menuntut semua perjanjian yang telah termeterai antara suku kaum mereka dan kerajaan Amerika dipatuhi dan dihormati. Ia hampir menjadi satu pertempuran yang besar dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan Amerika seperti Federal Marshall, FBI dan penghantaran senjata-senjata tempur berat ke Oglala. Pada 5 Mei, satu perjanjian persepakatan telah dicapai. Tiga hari kemudian kepungan pihak berkuasa ke atas protes di Oglala berakhir. Kehilangan nyawa berlaku pada kedua-dua pihak.

Peristiwa-peristiwa inilah yang menjadi api dalam sekam dan membarah di dalam jiwa masyarakat Sioux di Pine Ridge.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah perdamaian (reconciliation), Presiden Barrack Obama di dalam Defense Appropriation Bill 2010, menyatakan permohonan maaf di atas segala ketelanjuran pihak kerajaan Amerika kepada semua suku kaum asli yang ditindas dan diperlakukan dengan kejam selama ini.

Permohonan maaf itu masih tidak cukup untuk mengubati hancur luluhnya hati suku kaum Sioux. Mereka mahukan semua perjanjian pembahagian tanah yang telah dibuat sejak 1800 dihormati. Mereka mahu tanah suci mereka dikembalikan. Walaupun mereka dijanjikan pampasan, kaum Sioux menolak untuk menerimanya kerana tiada jumlah pampasan yang dapat melunaskan segala hutang darah dan maruah yang ditanggung kerajaan Amerika ke atas mereka. White Plum memberikan contoh kenapa mereka bertegas menolak pampasan yang cuba ditawarkan. Black Hill yang kini menempatkan Mount Rushmore di Amerika, merupakan bukit suci bagi kaum Sioux. Tanah itu dirampas meskipun ia telah diwartakan sebagai tanah milik mereka. Lebih teruk lagi, setelah merampas, penjajah imigran kulit putih menghina bukit suci tersebut dengan mengukir wajah Presiden-Presiden Amerika di kawasan suci kaum Sioux. White Plum bertanya, “Berapakah nilai pampasan yang boleh menebus semua penghinaan ini?”

Atas sebab itulah mereka kini hidup di dalam sistem ekonomi dan cara kehidupan mereka sendiri. Salah seorang kaum Sioux yang ditemuduga mengenai sistem ekonomi yang sedang mereka amalkan dan kenapa mereka menolak dengan sistem sedi ada menyatakan perkara berikut :

“Everything in the U.S. is designed around money. So how do we live in that mode –with the white man’s house, the whiteman’s pickup, the white man’s currency – and still keep our traditional Lakota culture?”

Lalu pada setiap Mei, peristiwa pembunuhan, perampasan hak tanah, penghinaan kepada tempat suci mereka disambut dengan protes menterbalikkan bendera Amerika Syarikat sebagai simbol pernyataan kecewa dan bersedih atas layanan Amerika terhadap mereka.

Menterbalikkan bendera sudah menjadi simbol pernyataan rasa kecewa dan tidak berpuas hati yang dikenali seluruh dunia. Lihat sahaja keadaan corak hidup kaum Sioux yang mengalami penindasan di sana.

Apa pula yang menjadi legitimasi kepada hak kumpulan-kumpulan etnik tertentu dalam negara untuk menterbalikkan bendera negara?

Mohd Aswanizam Alias
Pengarah Ihsan Strategic Research Centre (ISR)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: