Tempatan

PROTAJ MAIWP: Asnaf Bantu Asnaf

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUALA LUMPUR, 26 Mac 2021 – Golongan asnaf tidak akan mampu keluar daripada kemiskinan jika hanya diberi bantuan perniagaan tanpa latihan.

Oleh itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mahu membantu golongan asnaf sehingga mereka menjadi pembayar zakat dan membantu asnaf yang lain dengan mewujudkan program Transformasi Asnaf Jaya Baitulmal (PROTAJ).

PROTAJ merupakan salah satu inisiatif daripada MAIWP yang bukan sekadar memberikan bantuan kepada asnaf, malah menyediakan platform kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita mahu golongan asnaf bergraduasi daripada penerima zakat kepada pembayar zakat,” kata Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Tambah Datuk Dr Mohd Daud Bakar, program tersebut merangkumi tiga komponen iaitu Bantuan Musa’adah Tijariyyah, kerjasama latihan kemahiran industri dan menghasilkan ikon asnaf usahawan jaya.

“Bantuan Musa’adah Tijariyyah ialah bantuan baharu yang diperkenalkan oleh MAIWP kepada mereka yang ingin memula atau mengembangkan perniagaan sedia ada.”

“Berbeza dengan bantuan perniagaan lain ditawarkan oleh MAIWP, ia tidak mensyaratkan pemohon memiliki sijil Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sah selama enam bulan, sebaliknya mereka yang mendaftar dengan SSM selama dua bulan dan aktif layak memohon bantuan ini.”

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya pula, sebanyak tiga hingga lima peratus daripada 21,500 asnaf yang menerima skim bantuan keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Jika mereka menunjukkan prestasi yang baik, kita akan tukarkan kepada skim perniagaan yang melayakkan mereka menerima bantuan maksimum RM30,000 bagi merancakkan perniagaan.”

Mengakhiri kenyataan, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan Bandaraya Kuala Lumpur bebas daripada kemiskinan dalam tempoh tiga tahun.

Leave a Reply

Back to top button