Pendapat

PROPAGANDA KOMUNIS DALAM BUKU SEJARAH TINGKATAN 4

1. Tahniah kepada Puan Sri Fatini yang mewakili NGO Yayasan Kasih Tauhid kerana berani tampil ke hadapan membuat laporan polis hasil dari pendedahan ahli dalam gabungan Wanita Pembela yang telah mengkaji perkara dimanipulasikan fakta sejarah tanahair ini sejak setahun yang lalu semasa bawah kerajaan PH lagi setelah mendapati perkara ini berlaku.

2. Dalam senyap ketika Malaysia melalui zaman gelap berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Kementerian Pendidikan masa itu dalam keadaan tergesa-gesa telah memasukkan agenda propaganda Komunis di dalam Buku Sekolah Menengah Tingkatan 4 dan menerbitkannya serta mengarahkannya supaya digunapakai dan diajar oleh guru-guru sekolah menengah kepada murid-murid sekolah supaya ianya menjadi sebahagian daripada silibus mata pelajaran sejarah negara.

3. Difahamkan antara bab-bab yang isi kandungannya telah diubah, ditambah dengan informasi-informasi propaganda Komunis antara lain seperti berikut;

4. Dalam BAB 2 mengenai Kebangkitan Nasionalisme – dalam bab ini menerangkan tentang gerakan nasionalisme sedunia disusuli dengan memperincikan gerakan nasionalisme kiri zaman pra merdeka di Tanah Melayu yang jelas menampakkan kecenderongan pro Komunis. Di dalamnya terdapat banyak perkara yang cuba diketepikan dan disembunyikan dalam penghuraian sejarah politik Tanah Melayu, terutama antara tahun 1945-1948. Tokoh-tokoh besar pejuang kemerdekaan daripada golongan agamawan, orang suratkhabar dan persatuan-persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu yang disatukan oleh UMNO tidak didedahkan.

5. Dan ini akan memberi kesan kepada pelajar, yang pada dirinya akan tertanam benih bahawa fahaman Sosialis dan Komunis tidaklah seburuk sebagaimana yang ditohmahkan atau diberitahu oleh ibubapa atau datuk neneknya yang pernah mempunyai pengalaman berada di bawah pemerintahan Bintang Tiga dahulu.

6. Kemudian dalam BAB 3 iaitu bab ‘Konflik Dunia dan Pendudukan Jepun di Negara Kita’. Skop perbincangan adalah sangat luas sekali kerana menceritakan konflik dunia sejak Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Semua catatan sejarah tidak releven bagi murid sekolah menengah dan sangat berat untuk difahami bukan hanya murid malahan guru-guru itu sendiri.

7. Dan ia juga memberi kesan negatif kepada pelajar dan guru-guru kerana terpaksa mempunyai pengetahuan yang banyak dan luas untuk memberi fahaman kepada murid. Peta Eropah yang kompleks dan time line yang sarat dengan fakta itu akan jadi anti-tesis kepada P&P. Guru dipercayai akan meminta pelajar menghafalnya; ini tidak elok untuk interpertasi dan empati sejarah. Sebenarnya, pada pandangan saya, Perang Dunia Pertama ini tidak perlu diperdalamkan kerana ia tidak memberi kesan kepada Tanah Melayu, kecuali Perang Dunia Kedua, yang melibatkan kita secara langsung kerana penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu, 1942-1945.

8. Manakala dalam BAB 4, Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita dan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Soal penolakan terhadap Malayan Union adalah satu perjuangan besar. Ini adalah bahagian penting dalam sejarah Malaysia, terutama bagi sejarah nasionalisme dan politik orang Melayu, yang diwakili UMNO. Sejarah perjuangannya menuntut kemerdekaan tidak dapat dinafikan dan peranannya bukan kecil. Dan kesannya kepada pelajar – memudarkan atau mencairkan peranan hebat yang dimainkan oleh pejuang orang Melayu dalam usaha menolak percaturan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Mengurangkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

9. Dalam BAB 5, Penerangan mengenai gerakan nasionalis radikal terlalu terperinci. Tajuk-tajuk berkaitan seperti Gerakan Nasionalis Radikal Melayu, Gabungan Putera-AMCJA, sumbangan Nasionalis Radikal, cadangan Putera AMCJA dan Perlembagaan Rakyat. Paling menonjol ada keratan akhbar HARTA yang berjudul Kemuncak Perjuangan Putera AMCJA yang dilihat tiada apa-apa signifikan kecuali untuk menerapkan ideologi. Kesan dan akibatnya, pendedahan yang terlalu terperinci mengenai tokoh gerakan nasionalis Melayu radikal dan sumbangan mereka akan mengelirukan pelajar pada hal mereka tidak terlibat dengan rundingan mahupun penolakan dasar British secara terang-terangan seperti yang dilakukan golongan agamawan, dan nasionalis.

10. BAB 6 : Ancaman Komunis dan Pengisytiharan Darurat. Menerangkan secara terperinci mengenai kemasukan pengaruhi Komunis dan penubuhan parti Komunis serta kemasukan Komunis ke negara-negara jiran yang lain. Pendedahan dengan kemasukan Komunis sangat banyak didedahkan kepada pelajar. Kesannya pula kepada pelajar – kelihatan usaha mengindoktrin secara halus kepada pelajar bahawa Komunis juga turut memperjuangkan kemerdekaan dan menunjukkan ia perlu diterima.

11. Kesimpulannya, buku sejarah Tingkatan 4 ini tidak memasukkan perjuangan orang Melayu dalam berjuang menuntut kemerdekaan, tetapi anehnya jelas terdapat penerapan konsep Malaysian Malaysia yang sengaja diterapkan daripada awal. Buku ini juga tidak menonjolkan perjuangan agamawan tetapi terdapat usaha seperti mahu memisahkan agama dan politik oleh kumpulan tertentu semasa era kemerdekaan.

12. Justeru, saya mewakili seluruh kaum wanita kariah Setiawangsa, bersama menyokong tindakan Puan Sri Fatini dan rakan-rakan NGO beliau, kami menuntut dan mendesak supaya buku Tingkatan 4 Sekolah Menengah ditarik balik semuanya dan dilakukan postmortem dengan meletakkan kembali catatan sejarah yang sebenar bukannya menerapkan ideologi Komunis ke dalam minda anak-anak kita dan segera dirampas semua buku yang dipalsukan kandungan sejarah di dalamnya. Dan dalam masa yang sama meminta agar pihak kerajaan menyiasat bagaimana boleh berlaku perkara sebegini.

Puan Seriwani binti Sabtu
Kariah Wanita Setiawangsa

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

 

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button