Pendapat

PROPAGANDA ANASIR LUAR MENGANCAM PERPADUAN KAUM – HJ RASHIDI HARIS

Jangan lupa join Telegram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

Satu video bertarikh 7 Jun 2020 memaparkan pengulas wanita dipercayai Zhao Ling Min di mana beliau mendakwa bahawa kaum Cina di Malaysia memikul tanggungjawab yang amat berat dan mempunyai hak yang sangat sedikit serta selalu berada dalam ketakutan. Pengulas bernama Ling Ming berkenaan merupakan individu kontroversi serta pernah dikenakan tindakan oleh kerajaan China kerana peranannya melakukan provokasi menggalakkan pelajar melawan kerajaan Komunis China.

2. Campur tangan pihak luar atau lebih kepada anasir luar dengan berniat jahat mahu memporak-perandakan keharmonian sebuah negara sering berlaku yang kebanyakannya berupa provokasi tanpa mengkaji secara mendalam sejarah panjang Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Kedangkalan anasir luar ini menyalahtafsir kedudukan kumpulan “pendatang” hasil longgokan British yang diberi kerakyataan hingga membebankan bangsa asal dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

3. Provokasi sembrono sebegini sangat merbahaya dan lebih membimbangkan apabila jelas menunjukkan ada anasir luar didalangi kuasa besar turut berminat (seperti diakui Daniel Twining) mencampuri urusan dalaman negara dengan menyalurkan pembiayaan besar kepada NGO-NGO yang bekerjasama dengan parti-parti politik untuk meruntuhkan kerajaan yang terlantik secara sah mengikut Perlembagaan sedia ada.

4. Keadaan menjadi lebih sukar lagi apabila kesediaan kerajaan yang lemah mudah tunduk patuh kepada desakan-desakan daripada anasir luar ini. Dengan dana yang besar dan janji memberi sokongan dan perlindungan membuatkan mereka berani dan lantang bersuara menuntut seperti COMANGO di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan membangkitkan isu-isu kononnya kerajaan Melayu-Islam menindas kaum-kaum lain baik daripada segi hak kebebasan beragama dan kemanusiaan.

5. Malahan bangsa Liberalis Melayu mendakwa praktis Syariah telah menindas orang Melayu-Islam selaku pribumi asal. Kumpulan liberal ini pula berjuang menuntut supaya kerajaan Malaysia agar lebih terbuka dengan memberi kebebasan individu dan hak asasi kemanusiaan sebagaimana dikempenkan oleh kalangan LGBT serta NGO yang menyokong mereka.

6. Inilah senario yang sedang dihadapi oleh negara yang bukan hanya diserang oleh anasir luar yang dangkal sejarah tetapi juga kumpulan penuntut liberalisasi yang kuat menyerang polisi negara, di samping tuntutan-tuntutan suara perjuangan “kaum minoriti” sebagaimana yang disebut oleh Ling Ming, sarat dengan maklumat palsu dan provokatif yang diakui sendiri oleh warga kaum bukan Melayu sebagai tidak benar, malah dilontarkan tidak lama selepas jatuhnya kerajaan PH pada 24 Februari 2020.

7. Berkemungkinan video ini dinaikkan semula sebagai agenda kekecewaan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilabel oleh mereka sebagai kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang padahal kerajaan baru ini sah dilantik mengikut Perlembagaan, dan sehingga hari ini tidak ada dokumen sah bagi membatalkannya.

8. Sebagaimana berulang kali ditekankan oleh para ulama dan pengkaji sejarah tanah air, orang Melayu harus faham bahawa asas kekuatan negara ialah dasar “Melayu-Islam-Raja” yang sudah dipasakkan beribu tahun sebelum ini di Negeri-Negeri Melayu yang akhirnya disatukan dalam satu konsep Federalisme dengan mengekalkan elemen ketuanan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu. Menariknya, adalah fakta bahawa Perlembagaan negara telah direkabentuk oleh orang asing dalam Suruhanjaya Reid berakhir dengan Perlembagaan Persekutuan 1957.

9. Melihat kembali kepada sejarah, pimpinan Cina Parti PAP Singapura pernah bertelagah dengan pimpinan Melayu Tanah Melayu dan melihat kedudukan mereka lebih beruntung jika berpisah membebaskan Singapura pada tahun 1963 setelah lama British memajukan Singapura sebelum itu. Pergerakan politik PAP Singapura tidak hanya terhenti di selatan tanah air kerana mereka kemudiannya secara strategik telah melahirkan Parti DAP di Pulau Pinang sebagai usaha gigih dalam memperjuangkan nasib kaum bukan Melayu walaupun sudah diakui bahawa pemilikan harta terkaya dimiliki kaum Cina berbanding India dan Melayu.

10. Namun selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah sudah memperlihatkan peluasan agenda “Islam bashing”, “anti ketuanan Melayu “(sama seperti ketuanan bangsa lain di dunia seperti orang Jerman, Perancis, Sepanyol, India, Jepun, Korea, Cina di negara asal mereka!), “anti penguatkuasaan Syariah di Negeri-Negeri” dengan cara membela kalangan liberal dan LGBT dengan alasan hak asasi. Hari ini mereka gigih menumpukan perhatian mencari ruang pembelaan di mahkamah untuk menafikan hak itu secara perundangan sivil walaupun cabaran dilakukan atas isu-isu berkaitan Islam yang terletak di bawah Kuasa Sultan di Negeri-Negeri.

11. Tidak syak lagi ini di antara grand design untuk meruntuhkan segala pasak dan sendi kekuatan Melayu-Islam yang masih kekal dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk terus mengubahnya ialah dengan mendapatkan kuasa politik secara demokratik yang sedia terhidang menerusi amalan pilihan raya sebagaimana mereka berjaya dalam PRU ke-14. Masa telah tiba bagi umat Melayu-Islam bersatu bersama NGOi dan parti Melayu-Islam menggembleng usaha dengan tekad jati diri nilai bangsa mempertahankan kedaulatan Islam kita.

12. Jangan takut kepada mereka yang mencabar maruah negara. Jangan ikut nafsu serakah menjadi hamba abdi kepada sokongan di peti undi kawasan samata-mata lalu menggadai prinsip dan akidah kita. Kejarlah redha Allah SWT. Di situlah penilaian muktamad kewujudan kita bangsa Malayuwiyyah-Islamiyyah.

Lebai Kampung
@Haji Rashidi bin Haris

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pendapat Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button