Projek Tebatan Banjir Diutamakan Di Negeri Berisiko Tinggi
SEREMBAN, 19 Oktober 2023 – Projek tebatan banjir akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan risiko kepada rakyat, kata menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad.
Jelasnya, pelaksanaan setiap projek menangani banjir tidak mengambil kira dari segi kedudukan negeri sebaliknya mengambil kira risiko kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta pemusnahan harta benda.
“Mana-mana negeri yang kita lihat mempunyai risiko atau berdepan dengan kes-kes banjir yang besar itu menjadi keutamaan kementerian.”
“Kita tidak mendiskriminasi negeri tertentu tetapi ia mengikut keperluan dan kepentingan menyelesaikan kes tersebut yang membabitkan kepentingan orang ramai serta perlu diselesaikan secepat mungkin selepas penilaian dibuat agensi berkaitan.”
Nik Nazmi berkata demikian selepas melawat kerja-kerja memulihkan dan menaik taraf Sungai Simin sepanjang 55 meterdi Taman Delima dan Taman Anggerik Rantau yang membabitkan kos RM730,600, semalam.
Tambahnya, kementeriannya telah mengenal pasti kawasan panas atau yang terdedah kepada banjir serta memerlukan tindakan segera.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan Madani 2024 menyatakan terdapat 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan dilaksana di seluruh negara membabitkan kos RM11.8 bilion.