Tempatan

Projek PLSB Sungai Golok Siap 64 Peratus

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PASIR MAS, 26 Ogos 2022 – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 kini telah mencapai kemajuan fizikal 64 peratus sehingga 16 Ogos lalu.

Projek yang dikawal selia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM656 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024.

“Pembinaan Fasa 1 ini melibatkan empat skop utama iaitu ban banjir Sungai Golok sepanjang 26.2 kilometer (km), ban banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Sungai Mentua Bunding.”

“Projek ini akan mempunyai kesinambungan Fasa 2 melibatkan pembinaan dinding tebatan banjir di Rantau Panjang sepanjang 2.5km dan pembinaan ban banjir Sungai Lanchang Lemal (20km).”

Tambahnya, selain melibatkan pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Kedotak ke Sungai Lanas sepanjang 21km ia juga melibatkan pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke Kampung Kedotak sejauh 19km.

Jelasnya, projek itu dibina untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berdekatan Sungai Golok selain dari meningkatkan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurut beliau, infrastruktur tebatan banjir untuk 50 kala purata ulangan (ARI) dilakukan bagi mendalamkan muara Sungai Golok, menambah baik laluan bot dan perlindungan terhadap muara sungai tersebut daripada risiko banjir pantai.

“Kejadian banjir pada Disember 2021 dan Februari 2022 melibatkan beberapa kampung berdekatan Sungai Lanchang Lemal iaitu Kampung Tersang, Kampung Terusan, Kampung Bakat, Kampung Gual Periok dan Kampung Gual Tok Deh, Pasir Mas yang dinaiki air sehingga menyebabkan banjir termenung serta perpindahan penduduk.”

“Diharap projek ini dapat berjalan dengan baik sehingga semua fasa siap sepenuhnya demi manfaat dan kemudahan rakyat di Rantau Panjang khususnya dan seluruh lembangan Sungai Golok amnya,” katanya ketika Lawatan Kerja Menteri Besar Kelantan ke tapak PLSB Sungai Golok di ban banjir Sungai Lanchang Lemal pada Khamis lalu.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: