Projek ECRL Pantai Timur Terkesan Banjir
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PASIR PUTEH, 28 Disember 2022 – “Kerja tanah terjejas dengan air hujan (banjir), jadi dari segi kejuruteraan kita tidak dibenarkan buat kerja,” ujar Mohd Azemi Abdullah yang merupakan Pengurus Pembinaan Seksyen 1 dan 2 Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
Beliau berkata sedemikian susulan kejadian banjir yang terus melanda Pantai Timur sepanjang minggu lalu sehingga menjejaskan hampir 70 peratus kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 1 dan 2 yang meliputi jarak 82 kilometer bagi jajaran Tunjong ke Setiu, Terengganu.
Menurutnya, lokasi yang terkesan akibat bencana itu melibatkan kerja awalan seperti membersihkan hutan selain kawasan jajaran yang berada paras rendah.
“Namun banjir bukan halangan 100 peratus dan kita tidak mengganggap semua ini sebagai halangan, sebaliknya kita mahu menambah baik produktiviti untuk menggantikan semula apa yang hilang pada masa banjir ini,” katanya.
Bagaimanapun, jika berlakunya cuaca hujan di kawasan pembinaan maka mereka sekali lagi terpaksa menghentikan operasi kecuali kerja-kerja yang berada pada ketinggian melebihi dua meter dari paras tanah asal.
“Sebelum banjir, kita sudah tidak boleh masuk ke tempat rendah kerana digenangi air, oleh itu pada hari kejadian banjir ia dikira kemuncak sehingga kita tidak boleh langsung masuk ke situ,” jelas pengurus projek tersebut dengan lebih lanjut.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi negeri, Dr Mamad Puteh yakin bahawa projek ECRL ini bakal berjaya disiapkan pada masa yang ditetapkan iaitu pada tahun 2026.
Hal itu kerana, kerja pembinaan projek ECRL itu dilaporkan telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 43.96 peratus setakat bulan Oktober lalu.