Projek ECRL: 41 Orang Asli Sedia Pindah
GOMBAK, 23 Jun 2023 – Seramai 41 orang penduduk Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak sedia berpindah ke penempatan baharu bagi memberi laluan kepada Projek Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), kesemua penduduk yang terlibat akan dipindahkan ke penempatan baharu mereka yang terletak di Kompartmen 1, Hutan Simpan Hulu Gombak yang berada di antara Muzium Orang Asli dan Unit Logistik JAKOA seluas empat hektar.
BACA JUGA: Penemuan Kubur Wang Kelian: Empat Warga Thailand Dihadapkan Ke Mahkamah Hari Ini
BACA JUGA: Gerakan Mohon Maaf Atas Komen ‘Penjawat Awam Membebankan’
BACA JUGA: Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang PRN, Raya Haji
Jelasnya, segala kos perpindahan dari penempatan sedia ada ke lokasi baharu termasuk membina rumah, kuarters, prasarana dan kemudahan asas, serta membayar ganti rugi pokok yang ditebang bagi lokasi penempatan akan ditanggung oleh Malaysia Rail Link (MRL).
“Pemindahan penduduk ini hanya akan dilaksanakan apabila kesemua syarat dan terma dipenuhi dan diselesaikan sepenuhnya sesuai dengan perbincangan yang telah dilakukan.”
Pada 30 Mei lalu, satu sesi penerangan berkaitan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) berhubung pemindahan telah diadakan bersama penduduk.
Ia dihadiri Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Batu 12, Gombak dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Gombak yang membincangkan beberapa isu berkaitan penempatan ini.