Program Pembiayaan Komuniti Mampu Bentuk Masyarakat Prihatin – Amirul Hafidzi Mohamad Zin
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 19 Julai 2021 – Program Pembiayaan Komuniti yang merangkumi modul bimbingan latihan USD (Usahawan Sara Diri) dan Pinjaman Peribadi Berasaskan Qardul Hasan adalah antara contoh program komuniti yang boleh dilakukan oleh komuniti setempat, kata Pengarah Muafakat Komuniti, Saudara Amirul Hafidzi Mohamad Zin.
Beliau yang merupakan pencetus projek model Muafakat Komuniti di Bandar Saujana Putra (BSP), berkata, intipati utama untuk melancarkan program komuniti ialah perlu dilaksanakan di atas nilai muafakat dan kebersamaan.
“Program pemuafakatan masyarakat ini mampu memupuk nilai kebersamaan dan saling prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tambahan ketika negara dalam keadaan pandemik hari ini,” katanya.
Bagi memastikan program komuniti ini sampai kepada mereka yang memerlukan, kesedaran prihatin sesama kejiranan yang dipupuk akan menjadikan urusan dalam komuniti lebih menyeluruh, lebih berkesan dan menepati sasaran.
“Setiap unit-unit masyarakat perlu digerakkan dan dimanfaatkan semua sumber kekuatan yang ada di dalam komuniti. Semua pihak termasuk Persatuan Penduduk, Surau, Masjid, NGO, agensi kerajaan tempatan serta sukarelawan diajak bersama dan menjadikan ianya agenda bersama untuk komuniti.”
Tambahnya, selain data-data sedia ada semua pihak yang terlibat, platform secara atas talian juga diwujudkan bagi memudahkan mereka yang memerlukan bantuan melalui pautan https://muafakatkasihbsp.maseddydigital.com.my.
Mengenai sasaran dan siapa yang layak untuk menerima sumbangan, Saudara Amirul Hafidzi berkata, “Sesiapa sahaja dalam komuniti tanpa mengira agama, bangsa dan negara (termasuk warga asing) yang menetap dalam wilayah komuniti tersebut yang didapati memerlukan bantuan akan diusahakan sehingga selesai keperluannya.”
“Sekiranya mereka berada jauh atau di luar kawasan, maka sebolehnya kita akan hubungi pihak-pihak komuniti yang terdekat dengan mereka untuk membantu.”